Hari ini jutaan rakyat Malaysia telah keluar mengundi bagi memilih wakil rakyat yang akan membentuk kerajaan di peringkat persekutuan dan tiga negeri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pemain naturalisasi Sri Pahang, Sergio Aguero turut tidak melepaskan peluang untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi sejak memiliki status warganegara Malaysia secara sah pada bulan september lalu.

Menurut laporan Harian Metro, pusat mengundi beliau terletak di Sekolah Kebangsaan (SK) Semambu, Kuantan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Semambu dan Parlimen Indera Mahkota.

“Saya berbangga kerana menjadi warganegara Malaysia dan menunaikan tanggungjawab (mengundi) buat kali pertama.

“Harapan saya semoga Malaysia akan membentuk kerajaan yang stabil,” kata pemain itu.

Aguero yang berusia 28 tahun telah beraksi dalam saingan Liga Malaysia sejak tahun 2017. Beliau berharap dapat menyumbang sesuatu kepada negara dengan menyarung jersi skuad Harimau Malaya.

“Ia satu penghormatan untuk saya menjadi rakyat Malaysia. Saya di sini kerana sokongan orang di sekeliling saya, tanpa mereka, saya tidak akan berada di tempat saya berada.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pemilik Sri Pahang, Tengku Abdul Rahman Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah kerana membantu proses ini.

“Kuantan adalah tempat yang istimewa untuk saya serta keluarga dan saya berhasrat untuk tinggal lama di sini. Saya jatuh hati dengan makanan, masyarakat yang sangat baik dan paling penting saya menemui ketenangan di sini bersama keluarga,” katanya.

Malaysian Football League (MFL) bulan lalu mengumumkan bahawa rayuan Sri Pahang FC untuk mendaftarkan dua pemain naturalisasi iaitu Lee Tuck (England) dan Sergio Aguero (Argentina) sebagai pemain tempatan telah diluluskan.

Keputusan itu dibuat menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL yang meluluskan rayuan Sri Pahang FC untuk mendaftarkan pemain naturalisasi Lee Tuck dan Sergio Aguero sebagai pemain tempatan dalam Liga Malaysia 2022.