Baru-baru ini terdapat laporan akhbar mengenai pemain kacukan yang beraksi di luar negara telah meletakkan syarat ‘tidak masuk akal’ kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mewakili pasukan kebangsaan.

Difahamkan pemain dimaksudkan dalam laporan tersebut ialah Nooa Laine yang dilahirkan di Finland serta mempunyai darah Malaysia.

Bagaimanapun, Noaa Laine bersama agensinya, X-One dalam satu kenyataan media menerusi laman instagram menepis dakwaan mereka meminta bayaran untuk menyarung jersi pasukan negara dan menjelaskan sebab sebenar yang berlaku.

“Sejak beberapa hari lalu, terdapat laporan salah daripada media di Malaysia mengatakan Noaa Laine dan ayahnya, En. Faried Bin Baharin menuntut bayaran untuk anaknya beraksi bersama skuad kebangsaan Malaysia.

“Sebenarnya, Noaa Laine telah dipanggil oleh FAM buat kali pertama pada April 2022 untuk skuad bawah 23 tahun Malaysia (B-23). Panggilan kedua pada September 2022 untuk perlawanan bersama skuad Harimau Malaya.

“Agensi X-One menjadi pihak pertama yang menghubungi FAM pada awal tahun ini untuk mereka mengetahui Noaa Laine memiliki pertalian darah Finland-Malaysia.

“Kami menghubungi FAM kerana ia adalah impian Noaa untuk menyarung jersi pasukan Malaysia dan mewakili negara asal ayahnya suatu hari nanti. Tetapi Noaa tidak mempunyai pasport Malaysia kerana selama ini membesar di Finland.

“Kami nak jelaskan Noaa tidak mempunyai kepentingan lain untuk mendapatkan pasport Malaysia, dan ia semata-mata bertujuan untuk membenarkan beliau beraksi bersama pasukan Malaysia.

“Oleh sebab itu, kami bertanya kepada FAM sama ada mereka berminat dengan Noaa, dan mereka menyatakan minat tersebut kemudian kami meminta sokongan untuk Noaa mendapatkan pasport kerana ia tidak mudah apabila anda datang dari negara lain.

“Namun tiada sokongan sebenar diberikan,  janji tidak ditepati dan kurangnya sikap profesional daripada FAM sejak hari pertama,” kata agensi tersebut.

Brad Maloney
Pemain kacukan Malaysia-Finland, Noaa Laine pernah dipanggil menjalani latihan pasukan B-23 negara untuk persiapan menghadapi Sukan Sea di Hanoi tahun lalu. Sumber Gambar: FAM

Malah, agensi tersebut turut menjelaskan bapa Nooa iaitu Faried Bin Baharin terpaksa mengambil cuti datang dari jauh ke Malaysia untuk bantu menyelesaikan proses mendapatkan pasport.

“Untuk ini, ada perjanjian dibuat oleh FAM mengatakan mereka akan membayar kembali kos perjalanan sebagai cara sokongan untuk membantu Nooa mendapatkan pasport Malaysia supaya boleh menyarung jersi skuad negara. Namun, janji tersebut gagal dipenuhi.

“Untuk panggilan pada September, FAM sekali lagi menghubungi Noaa untuk sertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya. Tetapi pasport Noaa masih diproses dan belum siap sepenuhnya.

“Untuk melengkapkan proses mendapatkan pasport ia memerlukan ayah Noaa terbang ke Malaysia sekali lagi. Tetapi ayahnya harus mengambil cuti dan hilang sumber pendapatan serta memaksa Nooa meninggalkan kelab di luar kalendar FIFA ketika pasukannya sedang berhadapan perlwanan penting di Liga Finland.

“Noaa dan ayahnya sanggup berkorban sekiranya mendapat jaminan daripada FAM mengenai sokongan yang mereka janjikan seperti perbincangan awal iaitu membayar kembali segala kos. Tetapi FAM gagal memberikan sokongan tersebut,” jelas Agensi itu.

Mereka juga mendedahkan FAM meminta menghubungi pihak kelab untuk melepaskan Noaa di luar kalendar antarabangsa FIFA supaya pemain itu boleh mendapatkan pasport dan meminta ayahnya sekali lagi mengambil cuti untuk menyelesaikan masalah itu.

Kelab bersetuju melepaskan pemain itu dan ayahnya sanggup berkorban untuk ke Malaysia.

“Secara tiba-tiba, mereka (FAM) mengubah fikiran dan tidak mahu panggil Nooa lagi untuk kem latihan skuad kebangsaan. Ini menyebabkan ayah Nooa hilang pendapatan selama seminggu. Semuanya kerana keputusan tidak profesional daripada FAM.

“Wakil FAM hanya mengeluarkan kenyataan mengatakan proses untuk mendapatkan pasport hanya akan selesai pada Oktober. Itu juga tidak benar.

“Ia amat menyedihkan melihat bagaimana segelintir pegawai FAM bertindak tidak profesional mengeluarkan kenyataan yang tidak benar kepada media,” kata kenyataan daripada Agensi tersebut.