Pemain pertahanan Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar atau dikenali sebagai ‘Afro’ tekad memastikan pasukannya mencatat kemenangan tanpa bolos dalam setiap perlawanan Liga Super selepas ini.

Beliau menyifatkan barisan pertahanan telah belajar daripada kesilapan lalu dan akan beraksi dengan lebih baik bermula dengan perlawanan menentang Terengganu di Stadium Sultan Mizam pada hari jumaat depan, 22 April.

“Bukan rezeki kami untuk mendapat ‘clean sheet’ pada malam ini (Ahad) tetapi insyaAllah kami akan buat yang terbaik dalam perlawanan seterusnya tanpa bolos dan menang.

“Bagi saya macam aksi minggu lepas, kami bermain 10 orang jadi mungkin daripada segi kecergasan, fokus agak lemah sebab ambil mudah dengan pihak lawan, tapi hari ini (Ahad) kita tidak ingin benda sama berulang dan kami lebih fokus.

“Mungkin ini satu permulaan untuk kita lebih bersemangat dan setiap perlawanan kita akan pastikan untuk tidak mengambil mudah selepas ini”, katanya kepada MFL.

Beberapa hari lepas, skuad Selangor dikritik hebat oleh penyokong setia kerana melepaskan satu gol ketika menentang Kedah.

Sementara itu, penyerang import Selangor FC, Caion tekad ingin bekerja lebih keras untuk meneruskan momentum selepas berjaya menghasilkan lima gol dalam tiga perlawanan Liga Super setakat ini.

Dalam dua perlawanan terdahulu, tiga jaringan yang dilakukan penyerang dari Brazil ini adalah menerusi sepakan penalti, jadi dua gol daripada permainan terbuka pada Ahad lalu menentang Kedah Darul Aman FC pastinya memberi makna kepada Caion untuk membantu pasukan meraih kemenangan pertama.

Namun, dia menganggap ini baru sahaja permulaan dan masih banyak yang perlu dilakukan sekiranya mahu menghasilkan jaringan selepas ini.

“Saya gembira dan mahu mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan kerana membantu saya setiap masa dan saya bekerja keras setiap masa untuk pasukan.

Saya hanya nak cakap saya gembira sebab rakan sepasukan sentiasa membantu tetapi saya perlu bekerja lebih keras untuk menjaringkan gol.

“Jika saya tidak berusaha, gol tidak akan datang. Tetapi paling utama adalah saya nak berusaha keras untuk pasukan, siapa yang menjaringkan gol tidak penting”, jelasnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.

Jaringan PJ City Disahkan ‘Offside’, Sri Pahang Kerugian Mata Dalam Dua Perlawanan Berturut-Turut

Risau Didenda, Bojan Hodak Tahan Diri Daripada Kritik Mutu Pengadilan

Masalah Tunggakan Gaji Ganggu Fokus Melaka United Dalam Saingan Liga Super

Tiada Lagi Penundaan Perlawanan Jika Pemain Dan Jurulatih Disahkan Positif COVID-19