Skuad negara tidak mampu untuk menandingi keupayaan hebat Filipina selepas tunduk 0-4 pada aksi ketiga Piala AFF Wanita 2022 yang berlangsung di Stadium Memorial Rizal, Manila sebentar tadi.

Terdapat jurang yang cukup besar melibatkan kedua-dua pasukan dimana para pemain Filipina dilihat cukup selesa ketika mengawal bola dan bijak dalam menjelmakan peluang untuk menguji gawang skuad negara.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Filipina yang dibimbing pengendali dari Australia, Alen Stajcic menguasai permainan sebaik sahaja aksi dimulakan pengadil perlawanan. Malah, para pemain negara tidak mampu untuk melakukan sebarang percubaan ke arah pintu gol Filipina.

Bagaimanapun, pujian sewajarnya diberikan kepada penjaga gol negara, Nurul Azurin Mazlan yang mempamerkan aksi cemerlang untuk tidak membenarkan gawangnya dibolosi dengan lebih banyak.

Tuan rumah hampir membuka tirai jaringan seawal minit pertama menerusi Tahnai Lauren Annis tetapi percubaan ketua pasukan Filipina itu diselamatkan Nurul Azurin.

Annis sekali lagi memberikan ancaman ke kubu skuad negara berselang 14 minit kemudian tetapi tandukannya selepas menerima hantaran lintang Eva Silva Madarang sekadar singgah di palang gol.

Ketika anak buah Jacob Joseph bertahan dengan baik dalam menyerap asakan hebat dilancarkan Filipina, pintu gol negara bocor juga pada minit ke-32 menerusi jaringan pemain gantian, Sara Kristine Eggesvik.

Jaringan tersebut berpunca daripada rembatan jarak jauh dilakukan Eggesvik ketika beliau melihat Nurul Azurin sudah sedikit keluar dari posisinya.

Penjaga gol yang sebelum ini pernah berkelana ke India itu cuba untuk menyelamatkan keadaan di atas garisan gol, namun pengadil sudah pun mengesahkan jaringan yang jelas menggembirakan penyokong tuan rumah.

Ketika para pemain sudah berkira-kira untuk masuk ke bilik persalinan, Katrina Rivera Guillou menjadikan kedudukan 2-0 selepas percubaan susulannya dalam kawasan penalti tidak mampu dihalang Nurul Azurin.

Memasuki babak kedua, Filipina tidak menunggu lama untuk menambah jaringan ketiga selepas Quinley Mirielle Quezada yang tidak dikawal pertahanan skuad negara berjaya menanduk masuk bola hasil hantaran sepakan percuma dilakukan Eggesvik pada minit ke-48.

Eggesvik terus memainkan peranan penting pada perlawanan ini apabila hantaran lintangnya pada minit ke-72 terus mencari Anicka Castaneda yang menanduk masuk bola bagi mengesahkan kemenangan ketiga berturut-turut buat Filipina.