Federasi Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) mengesahkan telah menerima aduan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF) mengenai tingkah laku kurang sopan ditunjukkan oleh pembantu jurulatih Thailand, Wasapol Kaewpaluk.

Insiden tersebut berlaku ketika sidang media selepas tamat perlawanan akhir pertama Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di antara Vietnam menentang Thailand di Stadium My Dinh, Hanoi pada hari jumaat lepas.

Menurut laporan daripada Vietnam Express, Wasapol Kaewpaluk dikatakan telah melakukan provokasi terhadap wartawan Vietnam ketika sidang media yang turut dihadiri oleh ketua jurulatih, Mano Polking dan pemain tengah Thailand, Sarach Yooyen.

Menerusi rakaman video yang dipaparkan, Wasapol melangkah masuk ke bilik sidang media sambil memandang tajam ke arah wartawan tersebut. Difahamkan beliau tidak puas hati kerana terpaksa menunggu terlalu lama sebelum dibenarkan masuk ke bilik itu.

Wasapol juga dikatakan telah menjerit dan sempat menendang pintu bilik sidang media tersebut untuk meluahkan kemarahannya.

Bercakap kepada Main Stand, Wasapol menegaskan beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan dan hanya mahu penjelasan terhadap tindakan wartawan Vietnam itu.

Pihaknya terpaksa menunggu selama 45 minit dan sepatutnya pasukan pelawat dibenarkan masuk terlebih dahulu sebelum sidang media pasukan tuan rumah bermula.

“Selepas menunggu hampir 45 minit, salah seorang wartawan Vietnam ini telah rakam saya. Bila saya nampak dia merakam, saya tanya, “kenapa anda merakam” kemudian dia pergi dan menyorok di sebelah dinding. Bila saya datang dekat, dia keluar dari bilik.

“Mereka (VFF) boleh buat aduan rasmi, saya tidak kata apa-apa yang salah,” kata Wasapol.

Wasapol Kaewpaluk bakal terima amaran daripada AFF dan kini sedang dipantau untuk perlawanan akhir kedua antara Thailand menentang Vietnam di Stadium Thammasat, Bangkok malam ini.