Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil maklum bahawa pemain skuad B-16 kebangsaan, Amirul Ashrafiq Hanifah telah pun membuat permohonan maaf di akaun instagram beliau berhubung kesilapannya memuat naik bendera Indonesia yang salah di instastory ketika skuad B-16 kebangsaan berlepas ke Surabaya, Indonesia, Jumaat lalu bagi menyertai Kejuaraan B-16 AFF 2018 yang bermula hari ini.

Untuk makluman, selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Melaka petang semalam, Presiden FAM, Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin telah pun membuat tindakan segera dengan menghubungi Naib Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Joko Driyono dan Setiausaha Agung PSSI, Ratu Tisha Destria serta Setiausaha Agung Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF), Dato’ Sri Azzuddin Ahmad selaku penganjur kejohanan.

amirul ashrafiq

Mereka bertiga telah berjanji bahawa pihak tuan rumah dan penganjur akan memastikan tahap keselamatan Amirul Ashrafiq, pemain-pemain serta pegawai pasukan Malaysia terjamin sepenuhnya sepanjang berada di Surabaya bagi Kejuaraan B-16 AFF 2018 ini.

Selain itu, pihak AFF dan PSSI turut memaklumkan kepada Dato’ Haji Hamidin bahawa pasukan Malaysia tidak perlu terlalu risau biarpun terdapat ugutan yang dilakukan pihak tertentu terhadap pemain berkenaan berhubung isu ini kerana tahap keselamatan telah pun dipertingkatkan.

Saya yakin dan percaya dengan kewibawaan AFF dan PSSI untuk mengotakan janji mereka ini serta komitmen tinggi daripada mereka untuk memastikan tahap keselamatan tinggi buat para pemain dan pegawai pasukan Malaysia, sekali gus membolehkan pasukan kita dapat memberi fokus penuh dalam menghadapi setiap perlawanan di sana.