Skuad negara menepis segala kritikan yang dilemparkan segelintir peminat bola sepak tanah air dengan melangkah ke perlawanan akhir Kejuaraan AFF Bawah 19 (B-19) Tahun 2022 selepas menundukkan Vietnam 3-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Patriot Chandrabhaga, Bekasi sebentar tadi.

Kemenangan yang nyata cukup sukar untuk diraih anak buah Hassan Sazali Waras itu menyaksikan skuad negara mara ke pentas final buat edisi keempat berturut-turut.

Berdepan lawan yang memiliki kemahiran individu berkualiti, barisan pemain negara mempamerkan kekentalan ketika aspek bertahan dan dilihat bergantung harap kepada serangan balas pantas.

Ia jelas dibuktikan apabila ketika Vietnam giat menyusun gerakan, berpunca daripada satu serangan dilakukan skuad negara membolehkan Adam Farhan Mohd Faizal untuk melakukan ‘placing’ dari luar kawasan penalti sekali gus melepasi jangkauan penjaga gol lawan, Cao Van Binh bagi meletakkan Malaysia dihadapan pada minit ke-26.

Kredit Foto: FAM

Tersentak dengan jaringan tersebut, Vietnam yang dibimbing Dinh The Nam tampil dengan lebih garang untuk mendapatkan jaringan penyamaan terutamanya sebaik sahaja aksi babak kedua bersambung.

Begitu banyak serangan berbahaya yang dilancarkan jentera serangan Vietnam tetapi pemain pertahanan serta penjaga gol, Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri begitu cemerlang dalam mengelakkan gawang skuad negara dibolosi pada perlawanan ini.

Serangan balas pantas jelas menjadi senjata utama buat pemain negara dimana hantaran lintang Muhammad Haqimi Azim Rosli susulan gerakan solo dilakukannya berjaya dikuis masuk Muhammad Haiqal Haqeemi Hairi bagi mengukuhkan lagi kedudukan.

Ketika Syahmi Adib dan pertahanan di hadapannya terus kental bertahan, Mohammad Haykal Danish Mohd Haizon mengambil kesempatan diatas kealpaan pertahanan Vietnam untuk meluru pentas ke dalam kawasan penalti lalu memperdayakan Van Binh bagi mengesahkan kemenangan 3-0 buat skuad negara.

Menanti skuad muda negara di final Kejuaraan AFF B-19 nanti ialah pemenang antara Thailand dan Laos yang akan beraksi sebentar nanti.