Skuad bawah 18 tahun (B-18) negara berjaya menempah tiket beraksi di peringkat separuh akhir kejohanan AFF B-18 meskipun tewas 0-1 kepada Thailand pada perlawanan kelima peringkat kumpulan sebentar tadi.

Kemaraan skuad negara itu dibantu oleh kemenangan Kemboja ke atas Vietnam, 2-1 lalu meletakkan kedudukan Malaysia sebagai naib juara kumpulan B dan dijadualkan bertemu juara kumpulan A, Indonesia di peringkat separuh akhir pada hari Sabtu ini (17 Ogos 2019).

aff u18 GROUP N RESULT-01

Dalam perlawanan tersebut, Malaysia turun tanpa kelibat dua tonggak utama iaitu Muhammad Ajmal dan Azam Azmi yang digantung satu perlawanan. Malah, mereka turut diperkuatkan oleh Luqman Hakim Shamsudin dan Firdaus Kaironissam.

Separuh masa pertama menyaksikan Thailand lebih menguasai perlawanan dan mereka hampir memperolehi jaringan pertama pada minit ke 18 dan 21 namun rembatan kapten Thailand iaitu Kritsada Nontharat gagal menemui sasaran.

Selain itu, percubaan tersebut turut memberi semangat tambahan kepada mereka untuk terus mengandakan asakan ke kubu Malaysia tetapi deretan percubaan berbahaya mereka berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Malaysia, Firdaus Iman.

Pada minit ke 45, Malaysia sekali lagi bernasib baik apabila percubaan Thana Isor dalam kotak penalti menemui palang gol dan keputusan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua

Bermula babak kedua, skuad kendalian Brad Maloney mula mengaturkan serangan ke kubu Thailand dan menguasai perlawanan. Mereka juga hampir dihukum pada minit ke 50 apabila pemain lawan memanfaatkan bola muntah dari Firdaus namun pengadil mengesahkan jaringan tersebut tidak dikira kerana penyerang Thailand berada dalam kedudukan ‘off side’.

Di sebalik penguasaan Malaysia, kesilapan Firdaus Iman, yang cuba mengawal bola di luar kotak penalti, mengundang padah apabila Sitthinan bijak mencuri bola untuk menebus kesilapan awalnya pada minit ke-69 lalu menjadikan kedudukan kepada 1-0.

Pada minit 71, Malaysia memperolehi peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan melalui Firdaus Kaironissam yang menerima hantaran cantik daripada Luqman Hakim namun percubaannya berjaya ditepis oleh penjaga gol Thailand. Keputusan 1-0 kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.

Satu perlawanan separuh akhir melibatkan pasukan Australia menentang Myanmar. Australia mara selaku juara kumpulan B selepas membelasah Singapura 5-0. Perlawanan akhir kejohanan AFF B-18 akan berlangsung pada 19 Ogos 2019 (Isnin).