Ketua jurulatih skuad bawah 16 tahun (B-16) negara, Osmera Omaro tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya selepas anak buah beliau gagal untuk mencatatkan kemenangan ke atas Myanmar pada aksi kedua Kejuaraan AFF B-16 2022, malam tadi.

Mendahului seawal minit kedua menerusi jaringan Muhamad Dainei Mat Disa, skuad negara bagaimanapun terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas sedikit kesilapan pada minit ke-50 menghadiahkan jaringan penyamaan buat Myanmar.

Satu keadaan yang membuatkan Osmera masih tidak berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan oleh anak buahnya tatkala beliau meletakkan harapan untuk skuad negara mengulangi pencapaian muncul juara pada edisi 2013 dan 2019.

Bagaimanapun, pengendali berusia 43 tahun itu masih melihat skuad kendaliannya masih mampu untuk melakar kemenangan pada aksi terakhir bertemu Australia sekali gus mara ke separuh akhir.

Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia

“Ya, memang agak kecewa kerana pemain masih banyak melakukan kesilapan-kesilapan kecil. Mereka juga tidak efektif di hadapan pintu gol,” ujar Osmera bercakap kepada wartawan selepas perlawanan.

“Memang kecewa apabila kita apabila tidak berjaya melayakkan diri [lebih awal ke separuh akhir] tetapi saya lebih kecewa kerana memikirkan prestasi pemain masih belum mencapai tahap yang kita inginkan.”

“Saya nampak peluang masih cerah [untuk ke separuh akhir] disebabkan perlawanan Myanmar dan Kemboja akan sengit, jadi kita ada kelebihan daripada segi jaringan gol.”

“Jadi, kemungkinan besar kita cuma perlu menang [bertemu Australia] dan kita akan layak ke separuh akhir,” tambah Osmera lagi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Malaysia B-16 melalui pautan dibawah.

AFF B-16 2022: Malaysia, Myanmar Berkongsi Mata

AFF B-16 2022: Malaysia Lakar Kemenangan Ke Atas Kemboja

AFF B-16 2022: Osmera Mahu Anak Buah Serap Keyakinan ‘Abang Senior’