Skuad muda Malaysia terpaksa menelan kepahitan tersingkir awal daripada persaingan Kejuaraan AFF B-16 2022 selepas sekadar mencatatkan keputusan seri 2-2 pada aksi terakhir kumpulan C bertemu Australia, sebentar tadi.

Wajib mencatatkan kemenangan untuk mara ke separuh akhir, anak buah Osmera Omaro bagaimanapun tidak mampu untuk merealisasikan impian tersebut sekali gus menghancurkan harapan mereka bagi mengulangi pencapaian skuad negara muncul juara edisi 2019.

Skuad negara tersentak pada minit ke-17 apabila Ayman Gulasi membuka tirai jaringan namun kelebihan itu dipadamkan Anjasmirza Saharudin berselang 19 minit kemudian untuk kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan dengan keputusan 1-1.

Anjasmirza memberikan harapan buat skuad negara dengan jaringan kedua ketika aksi babak kedua hanya tiga minit bersambung.

Namun, Max Hately menjadi pemusnah harapan ketika aksi memasuki minit ke-65 bagi kembali menyamakan kedudukan.

Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia

Para pemain negara cuba memberikan tekanan buat Australia pada lewat permainan untuk mendapatkan jaringan kemenangan, namun ketumpulan penyudah menggagalkan usaha mereka sekali gus Malaysia terpaksa pulang ke Kuala Lumpur dengan penuh kehampaan.

Slot pasukan ke separuh akhir daripada kumpulan C diisi oleh Myanmar yang berjaya menundukkan Kemboja 1-0.

Format pertandingan pada edisi kali ini menyaksikan hanya juara kumpulan layak secara automatik ke separuh akhir manakala satu lagi slot menjadi milik pasukan terbaik dalam kalangan tiga pasukan di kedudukan kedua.

Dengan enam mata diraih, ia bermakna slot tersebut menjadi milik Vietnam bagi meninggalkan Laos dan Malaysia yang mengumpul lima mata.