Skuad muda Malaysia terlepas peluang untuk meneruskan rentak kemenangan dalam kempen Kejuaraan AFF Bawah 16 Tahun (B-16) 2022 selepas terikat 1-1 bertemu Myanmar pada aksi kedua yang berlangsung di Stadium Maguwoharjo Sleman, Indonesia sebentar tadi.

Segalanya tampak berada di landasan tepat buat skuad negara untuk meraih kemenangan selepas berjaya membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi Muhamad Dainei Mat Disa.

Dainei yang tidak dikawal pertahanan lawan dalam kawasan penalti dengan mudah menolak masuk bola hasil hantaran lintang dilakukan Muhammad Arami Wafiy Mohamad Zakimi bagi membolosi kawalan penjaga gol, Salai Ann Bwe Maung.

Permainan tersusun terus cuba dipamerkan barisan pemain negara dalam usaha mereka untuk menambah jaringan. Namun, ia tidak mendatangkan hasil berikutan corak bertahan yang ditampilkan Myanmar dimana mereka begitu kompak di bahagian tengah dan ketika bertahan.

Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia

Baharu lima minit aksi babak kedua bersambung, kesilapan pemain pertahanan skuad negara di dalam kawasan penalti ketika cuba untuk melakukan hantaran ke belakang terus memberikan ruang buat Kaung Khant Zaw untuk kembali menyamakan kedudukan.

Keputusan seri tersebut bagaimanapun masih lagi meletakkan Malaysia ditangga teratas meskipun berkongsi empat mata dengan Myanmar. Skuad kendalian Osmera Omaro itu memiliki kelebihan perbezaan jaringan.

Manakala, Kemboja pula berada di kedudukan ketiga selepas berjaya menundukkan Australia 4-2 pada satu lagi aksi kumpulan C yang berlangsung petang tadi.

Skuad Malaysia B-16 akan berhadapan Australia pada Isnin depan dimana kemenangan akan membawa mereka ke separuh akhir.

Format pertandingan menyaksikan hanya juara kumpulan akan layak secara automatik ke separuh akhir manakala satu lagi slot akan diisi pasukan tangga kedua dengan mata tertinggi.