Skuad muda negara memulakan kempen Kejuaraan AFF Bawah 16 Tahun (B-16) dengan nota kemenangan selepas berjaya menundukkan Kemboja 3-0 pada aksi kumpulan C yang berlangsung di Stadium Maguwoharjo Sleman, Jogjakarta sebentar tadi.

Turun selaku juara bertahan, skuad negara yang dibimbing Osmera Omaro itu tampil dengan meyakinkan apabila menguasai sebahagian besar permainan sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil dari Laos, Khamsing Xaiyavongsy.

Skuad negara hanya memerlukan enam minit untuk berada dihadapan selepas Muhammad Arami Wafiy Zakimi menyempurnakan peluang terhidang selepas percubaan awal Muhammad Anjasmirza Saharudin ditepis penjaga gol, Ron Chongmieng.

Mendapat tonik berguna susulan jaringan awal tersebut, para pemain negara terus menggandakan asakan bagi menambah jaringan tetapi ketumpulan penyudah jentera serangan menggagalkan usaha mereka.

Kesebelasan utama negara pada aksi sulung Kejuaraan AFF B-16 2022. Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia

Penguasaan berterusan ditampilkan pemain negara pada babak kedua menyaksikan Muhamad Farish Danish Mohd Asrul melebarkan kedudukan pada minit ke-59 selepas beliau berjaya melepasi perangkap ofsaid lalu membolosi kawalan Chongmieng.

Tidak cukup dengan itu, Farish menambah jaringan kedua peribadinya pada minit ke-78 hasil tandukan ketika situasi sepakan penjuru untuk memastikan kemenangan 3-0 buat skuad negara.

Kemenangan itu mampu meningkatkan moral pemain negara menjelang pertemuan kedua menentang Myanmar yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat ini.