Skuad Malaysia bawah 15 tahun (B-15) kini intai peluang untuk beraksi di perlawanan akhir Kejohanan AFF B-15 apabila dijadualkan menentang Vietnam di peringkat separuh akhir pada pukul 4 petang ini.

Bagaimanapun, pengendali skuad itu, P. Maniam menyifatkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan di peringkat kumpulan bukan jaminan anak buhanya akan mendapat laluan yang mudah kerana Vietnam pasti akan bermain mati-matian untuk menyingkirkan mereka.

Justeru itu, beliau menuntut para pemainnya supaya sentiasa fokus dan mengelakkan daripada melakukan kesilapan mudah yang tidak sepatutnya.

“Kita tidak boleh ambil mudah cabaran Vietnam. Saya mahu pemain bermain sehabis baik seperti mana menentang Australia dan tidak mensia-siakan peluang menjaringkan gol.

“Bagi saya Vietnam bukan pasukan mudah ditewaskan. Mereka bagus ketika menyerang, pantas dan transisi cepat. Beberapa pemainnya juga ada kualiti dan laju,” katanya dalam Arena Metro

Baca: AFF B-15: Malaysia Juara Kumpulan B, Jumpa Vietnam Di Separuh Akhir

67800227_2588283781236312_7847419859888504832_o
Aksi skuad Malaysia B-15 ketika menentang Thailand. FOTO: FA Thailand

Maniam juga mahu pastikan barisan pertahanan pasukannya tidak mudah dibolosi dan dijangka akan menurunkan barisan terkuat.

“Semua pemain perlu fokus dengan baik terutama barisan pertahanan dan saya yakin kita mampu mara ke final. Jangan bolos dan pastikan setiap peluang dimanfaatkan untuk menjaringkan gol,” katanya.

Satu lagi perlawanan separuh akhir melibatkan juara kumpulan A, Indonesia menentang tuan rumah, Thailand di venue yang sama pada sebelah malam. Perlawanan akhir dan penentuan tempat ketiga/keempat akan berlangsung pada 9 Ogos ini (Jumaat).

Sebagai rekod, kali pertama skuad negara menjuarai kejohanan AFF B-15 ialah pada tahun 2013 manakala Vietnam dan Thailand merupakan pasukan yang paling banyak menjuarai kejohanan tersebut iaitu sebanyak 3 kali.

Sumber