Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah menubuhkan satu task force bagi mengkaji saingan baharu yang diberi nama AFC Elite League bagi menggantikan saingan AFC Champions League (ACL).

Task force yang dibentuk ini dianggotai oleh beberapa nama besar dalam arena bola sepak Asia seperti China, Jepun, Korea Selatan, Australia, Qatar, Arab Saudi, Uzbekistan dan UAE.

Badan bola sepak Asia itu dilaporkan bakal memperkenalkan saingan baharu ini pada musim 2024 dimana sebanyak 20 hingga 24 pasukan bakal mengambil bahagian. Pasukan pula perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan seperti mendapat lesen dari AFC dan badan induk bola sepak negara masing-masing.

Untuk saingan baharu ini, tiada syarat kuota import yang dikenakan sebaliknya kelab bertanding bebas untuk menyenaraikan seberapa banyak pemain import yang mereka mahu.

Berbeza dengan saingan ACL yang menggunakan format kumpulan, Liga Elit ini akan menggunakan format liga dimana setiap pasukan akan bermain lapan perlawanan dengan empat perlawanan di tempat sendiri dan empat perlawanan di tempat lawan. Pasukan yang menduduki lapan tangga teratas akan mara ke peringkat kalah mati.

Format baharu ini dilihat bakal memberikan kesukaran terutamanya kepada pasukan yang tidak mempunyai kewangan yang kukuh dimana mereka perlu menghadapi lebih banyak perlawanan selain perlu menanggung beban dari segi pemain.

Jika di Malaysia, hanya Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dilihat mampu untuk mengambil bahagian ekoran mempunyai kewangan yang kukuh selain squad depth yang mencukupi untuk menghadapi banyak perlawanan.

Keputusan mengenai AFC Elite League ini bakal diumumkan pada tahun hadapan sama ada ianya sesuai untuk menggantikan saingan sedia ada ataupun sebaliknya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

Media Antarabangsa Cadangkan Liga Malaysia Gunakan Khidmat VAR

Media Vietnam Anggap Malaysia Lawan Mudah