Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) seperti diketahui pernah menjatuhkan hukuman berat buat penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias yang melakukan kekasaran terhadap pengadil perlawanan ketika aksi Piala AFC 2017 di Filipina.

Insiden tersebut menyaksikan Farizal telah bertindak keterlaluan dengan menolak pengadil dari China, Fu Ming sehingga menyebabkan penjaga gol yang kini berusia 34 tahun itu digantung selama setahun dan turut didenda AS$40,000 (RM164,000).

Keadaan itu sudah pastinya membuatkan para penyokong bola sepak tanah air mahukan hukuman sama diberikan kepada pemain tengah JDT, Natxo Insa yang menolak pengadil perlawanan, Noor Azriel Baharudin ketika aksi bertemu Perak di Stadium Perak, Ipoh, 21 Mac lalu.

Namun, AFC menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul John menegaskan bahawa pihaknya tidak akan mencampuri segala urusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam menentukan hukuman buat pemain kacukan tersebut.

Memetik sumber Berita Harian (BH) Online, Windsor turut menganggap bahawa setiap keputusan diambil adalah tertakluk kepada pertimbangan daripada Jawatankuasa Tatatertib yang dilantik oleh FAM.

Ia jelas sama sekali tidak boleh disamakan dengan tindakan AFC yang disifatkannya mempunyai standard tinggi, bagaimanapun badan induk bola sepak Asia itu tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya ada persatuan bola sepak di bawah naungan mereka mahu mengambil pendekatan sama.

“AFC ada tatacara sendiri untuk mengendalikan kes membabitkan keganasan terhadap pengadil atau pegawai. Kalau AFC tidak melindungi pengadil, jadi siapa yang akan melindungi mereka?”

“Cuma dalam kes ini [Natxo Insa], kita tidak bolehlah ulas kerana keputusan sudah ditetapkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM yang juga adalah satu badan bebas. Ini ibarat kita mahu mengulas keputusan sesuatu mahkamah.”

“Sebab itulah kita tidak boleh bandingkan bentuk hukuman AFC dan dalam kes ini, dengan FAM. Terpulang kepada badan bebas mereka untuk menentukan bentuk hukuman yang difikirkan wajar.”

“Ada had minimum dan maksimum dalam penetapan sesuatu hukuman sama seperti yang ada di mahkamah juga. Standard AFC memang tinggi (dalam menentukan hukuman) jadi kalau ada yang mahu ikut, itu sangat baik,” ujar Windsor Paul.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

Stuart Ramalingam: Jangan Salah Anggap Kes Insa, Ia Perlukan Masa

Dollah Belum Puas Hati Aksi Sri Pahang, Banyak Aspek Perlu Diperbaiki

Insiden Baling ‘Armband’, Fernando Santos Bela Ronaldo Kekal Kapten Portugal

Sumber