Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah meluluskan permohonan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bola Sepak Timor Leste (FFTL) untuk menunda tarikh perlawanan pertama play-off kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dari 6 kepada 7 Jun depan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam turut mengesahkan AFC juga meluluskan permohonan FAM dan FFTL untuk mengadakan kedua-dua perlawanan timbal balik itu di Kuala Lumpur.

Stuart Ramalingam
Sumber Gambar: FAM

“Malaysia akan menjadi tuan rumah untuk aksi pertama pada 7 Jun dan aksi kedua, 11 Jun akan menjadi aksi tuan rumah bagi Timor Leste.

“Gelanggang yang dicadangkan FAM adalah Stadium Nasional Bukit Jalil untuk digunakan bagi kedua-dua aksi itu. Ia sudah dipersetujui antara FAM dan Timor Leste,” kata Stuart menurut laporan Berita Harian.

Skuad Kebangsaan
Sumber Gambar: FAM

Selain itu, pasukan kebangsaan akan mengharungi aksi persahabatan berdepan Nepal pada 2 Jun sebagai persediaan untuk berdepan Timor Leste, tetapi gelanggang yang akan digunakan masih belum diputuskan.

Timor Leste sebelum ini telah menggunakan beberapa stadium di sekitar ibu negara sebagai gelanggang ‘home’ mereka kerana Stadium Nasional Dili tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan oleh FIFA.