Minggu lepas, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah mencapai kata sepakat dengan Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) bagi mengadakan perlawanan saingan AFC Champions League (ACL) zon timur di negara tersebut.

Saingan peringkat kumpulan untuk zon timur itu akan berlangsung pada 18 November hingga 13 Disember melibatkan pasukan dari Malaysia, Jepun, Korea, China, dan Thailand.

Pada mulanya, AFC memilih Malaysia sebagai tuan rumah ACL peringkat kumpulan bagi zon timur dengan memili Stadium Sultan Ibrahim dan Stadium Bukit Jalil sebagai venue perlawanan.

Namun, badan bola sepak Asia itu kemudiannya menukar keputusan tersebut dengan memilih Qatar sebagai venue baharu. Difahamkan perubahan itu mempunyai kaitan dengan peningkatan kes wabak pandemik COVID-19 di Malaysia.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John dalam satu kenyataan menjelaskan keputusan itu dibuat berdasarkan kemampuan Qatar untuk memenuhi keperluan logistik sebagai tuan rumah seperti penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) serta infrastruktur perubatan.

afc3-696×329
Penggunaan VAR di AFC Champions League.

Qatar sebelum ini berjaya menganjurkan saingan ACL Zon Asia Barat bermula dari peringkat kumpulan hingga perlawanan separuh akhir pada 14 September hingga 3 Oktober.

Perlawanan akhir juga akan diadakan di negara tersebut.

“Penularan wabak pandemik COVID-19 telah memberi kesukaran kepada kami untuk menentukan lokasi perlawanan dan ia menjadi semakin kompleks. Ditambah lagi dengan sekatan perjalanan dan tahap kesihatan yang tidak menentu.

“AFC juga ingin mempertahankan prinsip kesukanan iaitu perlawanan yang adil dan bersih. Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, kita perlu memastikan bahawa tidak ada kelebihan yang tidak adil untuk satu pasukan atau yang lain.

“Keselamatan semua kelab yang bertanding dalam kejohanan itu termasuk pemegang taruh amat penting bagi AFC. Maka, kami harus berterima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) dan pihak berkuasa Qatar serta kementerian negara itu yang telah bekerjasama mengambil langkah-langkah kesihatan dan protokol perubatan yang berkesan,” Kata Windsor di laman web AFC.

Malaysia yang diwakili oleh juara liga super 7 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan terbang ke Doha pada bulan depan. Sebaik sahaja tiba disana, mereka perlu menjalani ujian saringan COVID-19 (swab test).

Selepas itu, mereka akan dikuarantin selama 14 hari di hotel penginapan sebelum menghadapi perlawanan sebenar.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

Penyerang UAE Disahkan Meninggal Dunia Akibat Kemalangan

Media Thailand Ini Dedahkan Diogo Luis Santo Capai Persetujuan Sertai Kelab BG Pathum United

Alexandre Gama Letak Jawatan Sebagai Ketua Jurulatih Muangthong United

BG Pathum United Tunggu Kata Putus Dari Teerasil Dangda