Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menggesa pemegang taruh bola sepak Malaysia untuk mencari jalan tengah dalam menangani isu kewangan angkara wabak COVID-19.

Setiausaha Agung AFC Dato’ Windsor John mengajak semua pihak berkepentingan untuk membuka pintu perbincangan bagi menghadapi kemungkinan impak kewangan yang meruncing akibat pandemik itu.

AFC

BUKIT JALIL 25 JULAI 2018. Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia, Datuk Windsor Paul John bercakap dengan media selepas pengundian bola sepak lelaki pasukan Palestin dan United Arab Emirate (UAE) untuk Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 di Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Bukit Jalil. STR/OWEE AH CHUN.

“Tanpa kemampuan menjana pendapatan sama ada dari segi jualan tiket, penajaan mahupun sokongan kerajaan, kantung sesetengah pasukan mungkin terjejas untuk satu tempoh yang agak panjang.

“Kelab-kelab mungkin tidak dapat memenuhi tanggungjawab yang termaktub dalam kontrak dengan pemain. Laporan dari Eropah menunjukkan gaji pemain sama ada dipotong atau ditunda.

“Dalam keadaan kita berdepan satu krisis besar, semua pihak harus berjiwa besar. Dengan senario yang sedia ada, inilah masanya untuk kita melihat dari sudut gambaran yang lebih besar.

“Ringkasnya, perlu semua pihak untuk duduk semeja berunding dan mencari penyelesaian secara bersama. Keputusan yang diambil harus mementingkan impak yang meluas, bukan bermotifkan kepentingan individu,” kata Dato’ Windsor.

Wabak yang melanda dunia menjejaskan industri bola sepak dunia dan Dato’ Windsor membayangkan bahawa perubahan besar bakal berlaku, sambil mendedahkan AFC akan mengadakan perbincangan dengan wakil pemain profesional, FIFPro, tidak lama lagi selain keputusan FIFA untuk membentuk Jawatankuasa Petugas bagi merangka strategi baharu dalam menangani cabaran COVID-19.

“Dalam konteks Malaysia, AFC menggesa pasukan dan wakil pemain untuk mencari model yang sesuai dalam mendepani kemungkinan ketidakstabilan kewangan, sepertimana yang dilaksanakan oleh badan induk Indonesia, PSSI.

“PSSI duduk berbincang dengan semua pemegang taruh dan bersetuju dengan satu solusi. Kesudahannya, kita tidak mahu kelab atau pasukan menamatkan sebarang kontrak pemain jika kedudukan kewangan mereka tidak lagi mampu menampung perbelanjaan secara berterusan.”

Ketum PSSI, Mochamad Iriawan.

Ketum PSSI, Mochamad Iriawan. (Foto: PSSI).

PSSI mengisytiharkan Mac hingga Jun 2020 sebagai keadaan kahar atau force majeure (darurat atau keadaan luar jangka) serta mengizinkan kelab untuk menggaji pemain mereka pada kadar maksimum 25 peratus daripada jumlah yang dipersetujui dalam kontrak sepanjang tempoh itu.

Sambil mengambil maklum bahawa kelab terikat dengan kontrak pemain yang bersifat peribadi, Dato’ Windsor tetap menasihatkan pemain untuk mengambil pendekatan realitistik dan pragmatik.

“Walaupun kita maklum kelab diwajibkan membayar gaji penuh kepada pemain, kita tidak boleh mengharapkan sedemikian seandainya mereka tidak ada pendapatan. Bincanglah dengan pasukan dan kaji tawaran yang mereka kemukakan,” kata Dato’ Windsor.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Mat Zan Mat Aris Gesa FAM, MFL Kaji Semula Saingan Piala Malaysia Dan Piala FA

Transfermarkt: JDT Adalah Kelab ASEAN Yang Memiliki ‘Market Value’ Paling Tinggi Sekitar RM33.46 Juta

Pemain Selangor Perlu Jaga Berat Badan Jika Tidak Mahu Elaun Dipotong

Anda Mungkin Suka

© 2020 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group