Kedah Darul Aman (KDA) FC bangkit daripada kekalahan pada aksi sulung Piala AFC 2022 tempoh hari selepas berjaya menundukkan wakil Filipina, Kaya FC-Iloilo 4-1 di Stadium Kapten I Wayan, Dipta, Bali sebentar tadi.

Kurang efektif pada babak pertama, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak tampil dengan lebih baik pada 45 minit terakhir dengan Ronald Ngah Wanja menjadi antara watak penting dalam membantu kemenangan sulung ini.

Skuad Kenari bagaimanapun hampir ketinggalan pada minit ke-54 apabila pemain import lawan, Robert Lopez Mendy mendapat peluang terbaik susulan hantaran lintang daripada Curran dari sebelah kiri pintu gol Kedah.

Namun, percubaan penyerang Senegal itu ketika beliau langsung tidak dikawal pemain pertahanan Kaya FC sekadar meliar.

Jaringan yang dinantikan Kedah hadir berselang tiga minit kemudian selepas pemain gantian, Fayadh Zulkifli mudah menolak masuk bola hasil hantaran lintang dilakukan Ronald Ngah Wanja.

Ronald sekali lagi memainkan peranan penting buat Kedah dalam menambah jaringan kedua apabila gerakannya memberikan ruang buat Mahmoud Al-Mardi untuk meledakkan rembatan sekali gus berjaya menewaskan penjaga gol, Quincy Julian Boltron pada minit ke-63.

Mahmoud Al-Mardi turut menyumbangkan satu gol. Kredit Foto: Kedah Darul Aman

Kedah yang semakin bernafsu untuk melebarkan kedudukan terlepas peluang terbaik untuk mendapatkan gol ketiga setelah rembatan Ronald Ngah dalam kawasan penalti dinafikan Quincy Boltron.

Kaya FC yang sesekali menguji gawang Kedah turut hampa dek kerana ketumpulan jentera serangan apabila hantaran cantik daripada Jesse Curran gagal dikuis dengan baik ketua pasukan, Jovin Bedic.

Ronald yang sekali lagi hampa pada minit ke-75 ekoran rembatan jarak dekat ditepis keluar Quincy berjaya menebus kehampaan tersebut berselang lapan minit kemudian selepas pemain import berusia 30 tahun itu tenang melakukan gerakan solo dan kemudiannya menolak masuk bola untuk gol ketiga.

Kelekaan pertahanan Kedah pada minit ke-85 dihukum Javier Augustine Gayoso untuk beliau menghadiahkan jaringan saguhati buat Kaya FC pada perlawanan ini.

Fayadh membuktikan kemasukannya cukup berbaloi apabila beliau menambah jaringan kedua peribadi ketika aksi semakin hampir untuk ditamatkan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Dion Cools Bakal Sertai Johor Darul Ta’zim Musim Hadapan

Mauricio Dos Santos Ucap Selamat Tinggal Kepada JDT

AFC Cup 2022: KL City Seri Tanpa Jaringan, Kedah Tewas 0-2