Banyak kejutan yang berlaku dalam saingan Piala AFC (AFC Cup) semalam apabila juara Liga 1 Indonesia, dibantai 5-2 ketika menentang kelab dari Kemboja, Visakha FC di halaman sendiri.

Keputusan itu turut membuka peluang kepada wakil negara, Kedah Darul Aman (KDA) untuk layak ke pusingan kalah mati selepas mereka mencatat kemenangan 4-1 ke atas kelab Filipina, Kaya FC malam tadi.

Mengulas kekalahan Bali United, pengendali pasukan tersebut, Teco Stefano Cugurra memberi alasan keletihan sebagai punca anak buahnya gagal mempamerkan prestasi seperti yang diharapkan.

Menurut Teco, mereka sudah berhempas pulas ketika menentang Kedah dan mempunyai waktu rehat yang tidak mencukupi.

“Banyak pemain yang sudah bekerja keras ketika menentang Kedah Darul Aman. Dua hari tidak cukup bagi kami untuk berehat,” katanya seperti dipetik dalam laman web PSSI.

“Recovery pasukan Kemboja bagus. Kami minta maaf kepada penyokong yang hadir kerana kami hilang fokus. Lawan bermain dengan lebih dan mempunyai kualiti untuk menjaringkan gol,” jelasnya lagi.

Dalam perlawanan tersebut, Bali United terlebih dahulu menjaringkan gol pertama menerusi rembatan Irfan Jaya dalam kotak penalti pada minit ke 9. Visakha kemudian melakukan kebangkitan mendadak dengan menjaringkan 5 gol.

Paling menarik ialah jaringan sepakan percuma yang cantik Ouk Sovann pada minit ke 45 ditambah pula dengan jaringan rembatan kencang Lee Jae-gun sekaligus mematahkan semangat Bali United untuk mencari jaringan penyamaan.

Visakha kini berada di kedudukan teratas dalam kumpulam G. Perlawanan terakhir kumpulan Khamis ini akan menentukan 4 slot ke peringkat seterusnya.

Hanya Juara Kumpulan dan 1 pasukan tempat kedua terbaik dari 3 kumpulan Zon Asean akan memenuhi 4 slot tersebut. Keputusan aksi menentang pasukan di tangga terakhir (tempat ke-4) kumpulan tidak akan dikira selepas 3 perlawanan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Piala AFC 2022 melalui pautan dibawah.

AFC Cup 2022: Ronald, Fayadh Cemerlang Bantu Kedah Atasi Kaya FC

AFC Cup 2022: KL City Seri Tanpa Jaringan, Kedah Tewas 0-2

Piala AFC: Safee Sali Teringat Jaringan Menarik Ketika Bersama JDT Pada Tahun 2015