Kedah Darul Aman (KDA) FC terus mempamerkan belang sebenar apabila membelasah Visakha FC 5-1 pada aksi terakhir saingan kumpulan G Piala AFC 2022 yang berlangsung di Stadium Kapten I Wayan, Dipta, Bali sebentar tadi.

Kemenangan besar tersebut sekali gus meletakkan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu di tangga teratas yang mana membawa mereka ke separuh akhir Zon Asia Tenggara.

Keadaan yang cukup bermakna buat bola sepak Malaysia selepas satu lagi wakil negara, KL City turut mencatatkan kemenangan pada aksi terakhir untuk melayakkan diri.

Pemain import baharu Kedah, Mahmoud Al-Mardi menjadi perbualan utama pada aksi ini berikutan hatrik yang diledakkannya.

Kedah berpeluang mendapatkan jaringan pendahuluan pada minit ke-12 tetapi sepakan penalti yang diambil Ronald Ngah Wanja sekadar melewati palang gol.

Tidak cukup dengan kekecewaan tersebut, skuad kenari dihukum pada minit ke-20 setelah hantaran jauh ketika situasi sepakan percuma diambil Teat Kimheng berjaya ditanduk Faeez Khan untuk meletakkan wakil Kembaoja itu dihadapan.

Kredit Foto: Kedah Darul Aman

Tersentak dengan jaringan itu, Kedah bangkit melawan dan kembali menyamakan kedudukan berselang lapan minit kemudian menerusi Mahmoud yang mudah menolak masuk bola berikutan kegagalan pertahanan lawan untuk mengeluarkan bola hantaran cantik daripada Dechi Marcel N’Guessan.

Ketika para pemain sedang berkira-kira untuk kembali ke bilik persalinan, Mahmoud menyempurnakan sepakan percuma menarik yang jelas mengelirukan penjaga gol Visakha FC, Keo Soksela untuk memberikan kelebihan 2-1 buat Kedah.

Mahmoud melengkapkan hatrik sulungnya pada minit ke-54 selepas beliau tidak berdepan masalah untuk merembat masuk bola susulan ‘cutback’ dilakukn Fayadh Zulkifli.

Fayadh kemudiannya turut meletakkan namanya selaku penjaring apabila rembatannya selepas menerima lorongan baik daripada Ronald Ngah yang melakukan gerakan solo ke dalam kawasan penalti tidak mampu dinafikan Soksela.

Ronald Ngah menutup pesta jaringan Kedah untuk mereka mengesahkan tempat selaku juara kumpulan sekali gus bakal menentang kelab dari Indonesia, PSM Makassar.