Kuala Lumpur (KL) City terlepas peluang untuk muncul juara kumpulan H Piala AFC 2022 meskipun mencatatkan kemenangan ke atas Tampines Rovers 2-1 pada aksi terakhir yang berlangsung di Stadium KLFA, Cheras sebentar tadi.

Namun, ia bukanlah masalah besar buat skuad warga kota itu kerana mereka berada di tangga teratas dalam senarai tiga pasukan kedudukan kedua untuk  turut serta mengiringi PSM Makassar ke separuh akhir Zon Asia Tenggara.

Sedar mereka memerlukan kelebihan tiga gol pada perlawanan ini, para pemain KL City menguasai permainan sekali gus memberikan beberapa ancaman berbahaya ke kubu lawan.

Keghairahan itu jelas kelihatan selepas KL City berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-16 menerusi Josue yang menyempurnakan peluang dalam kawasan penalti dengan melepaskan rembatan bagi membolosi penjaga gol, Muhammad Syazwan Buhari.

Josue hampir menambah jaringan berselang empat minit kemudian, namun sepakan percuma diledakkannya dinafikan dengan baik Syazwan untuk mengelakkan gawangnya daripada terus dibolosi.

Kredit Foto: Kuala Lumpur City

Kehampaan pemain import dari Brazil itu terubat pada minit ke-21 apabila dadaan yang dilakukannya dalam kawasan penalti setelah menerima lintang disudahkan dengan satu percubaan voli untuk menjadikan kedudukan 2-0 memihak tuan rumah.

Skuad kendalian Bojan Hodak itu bagaimanapun tersentak ketika permainan memasuki minit ke-37 apabila Boris Kopitovoc yang tidak dikawal pertahanan melonjak tinggi untuk menanduk masuk bola hasil hantaran Taufik Suparno bagi merapatkan defisit jaringan.

Memasuki babak kedua, KL City mendapat peluang terbaik pada minit ke-47 tetapi rembatan Romel Morales selepas mendapat lorongan baik rakan sepasukan diselamatkan Syazwan.

Usaha tanpa mengenal erti penat yang dilancarkan kedua-dua pasukan selepas itu masih tidak mampu mengubah kedudukan sekali gus menghadiahkan kemenangan berharga buat KL City.