Semalam, dua wakil negara, Kedah Darul Aman (KDA FC) dan Terengganu FC (TFC) dapat mengetahui lawan masing-masing di saingan AFC Cup 2021 apabila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menjalankan undian rasmi secara dalam talian.

Berdasarkan undian, KDA FC diundi dalam Kumpulan H bersama wakil dari Singapura, Lion City Sailors dan wakil Vietnam, Saigon FC. Satu lagi lawan mereka akan diisi oleh pemenang ‘play-off’ sama ada kelab dari Kemboja atau Indonesia.

Lion City Sailors bukanlah kelab asing bagi pengendali KDA FC, Aidil Sharin Sahak kerana beliau pernah melatih kelab itu ketika menggunakan nama lama, Home United dalam saingan AFC Cup pada tahun 2017 dan 2018.

“Alhamdulillah, kita diundi bersama kumpulan pasukan yang hebat seperti Lion City Sailors FC, Saigon FC dan kita boleh lihat satu lagi slot Play-Off yang akan ditentukan kemudian, jangkaan saya Persipura Jayapura mampu layak ke peringkat kumpulan.

“Memang saya teruja terutamanya dapat bertemu kembali pasukan yang saya pernah kendalikan (Home United FC yang kini dikenali sebagai Lion City Sailors FC) dalam Piala AFC, layak pula ke pentas akhir sebanyak dua kali.

“Kita harus fokus kepada pasukan kita, diundi dalam kumpulan menentang pasukan hebat contohnya Lion City Sailors FC yang musim ini membeli pemain import dari Eropah, pernah beraksi di Liga Utama Portugal, perpindahan pemain ini yang bernilai sehingga RM3 juta, mereka cukup serius mempersiapkan pasukan terutamanya cabaran kejohanan Piala AFC musim ini. Saigon FC dari Vietnam juga kuat, berbelanja besar ketika pra-musim, InsyaAllah kita akan buat yang terbaik, yang paling penting, kita perlu ada momentum yang baik di Liga Super dahulu, baru kita dapat lebih keyakinan dalam Piala AFC nanti,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah, beliau juga memilih kelab dari Singapura itu sebagai pasukan pilihan berdasarkan persiapan mereka membeli beberapa pemain berkualiti. Lion City Sailors turut diperkuatkan oleh bekas pemain PKNS FC dan Terengganu FC, Faris Ramli.

“Bagi saya sudah tentu Lion City Sailors FC adalah pasukan pilihan dalam Kumpulan H Zon Asean, rekod mereka dalam Piala AFC, pernah menang di perlawanan akhir Zon Asean, pengalaman di Piala AFC dan pemain dalam pasukan adalah sama dari sebelum ini, 80% pemain pernah saya kendalikan pada 2017 dan 2018 masih kekal.

“Kita juga nampak pemain baru seperti Faris Ramli yang baru sahaja diikat kelab asalnya dan kita tahu pasukan tersebut adalah 80% pasukan kebangsaan Singapura.

“Sudah tentu Lion City Sailors FC adalah pasukan pilihan berbanding KDA FC yang baru mula bertapak di pentas Asia selepas percubaan ke peringkat kumpulan ACL 2020 gagal selepas tewas kepada Seoul FC dalam perlawanan Play-Off,” tambahnya.

Baca artikel lain mengenai saingan peringkat Asia melalui pautan dibawah. 

Format Karnival Jadi Pilihan Anjur Saingan AFC Champions League Dan AFC Cup 2021

Ini Mekanisme Undian Saingan AFC Champions League 2021 Yang Penyokong JDT Wajib Ambil Tahu

Mekanisme Undian Saingan AFC Cup 2021 Yang Perlu ‘Dihadam’ Peminat Kedah Dan Terengganu