Dua wakil negara, Kedah Darul Aman (KDA FC) dan Terengganu FC (TFC) akhirnya mengetahui lawan masing-masing dalam saingan AFC Cup 2021 melalui undian rasmi peringkat kumpulan yang telah berlangsung petang tadi.

Berdasarkan undian, KDA FC diundi dalam Kumpulan H bersama wakil dari Singapura, Lion City Sailors dan wakil Vietnam, Saigon FC. Satu lagi lawan mereka akan diisi oleh pemenang ‘play-off’.

Lion City Sailors bukanlah kelab asing bagi pengendali KDA FC, Aidil Sharin Sahak kerana beliau pernah melatih kelab itu ketika menggunakan nama lama, Home United dalam saingan AFC Cup pada tahun 2017 dan 2018.

Lebih menarik, Aidil mempunyai rekod cemerlang dalam saingan AFC Cup kerana pernah membawa Home United mara ke peringkat akhir antara Zon. Sudah tentu ia akan menjadi kelebihan tambahan kepada KDA FC untuk merangka persiapan terbaik menghadapi saingan di peringkat Asia.

Terengganu FC pula diundi dalam Kumpulan I bersama naib juara Liga Filipina, Kaya FC-Iloilo serta satu lagi pasukan dari Singapura, Geylang International. Bagaimanapun, wakil dari Myanmar akan ditentukan kemudian sama ada Shan United atau Ayeyawady United.

Ini merupakan kali kedua pasukan Terengganu beraksi di pentas Asia setelah kali terakhir mereka berjaya beraksi di AFC Cup adalah pada tahun 2012. Sudah tentu ia akan menjadi tugas sukar buat skuad kendalian Nafuzi Zain yang terdiri daripada pemain muda.

Saingan peringkat kumpulan AFC Cup 2021 dijadualkan berlangsung pada 14 Mei hingga 20 Mei 2021 (Zon Selatan & Timur), 23 Mei hingga 29 Mei 2021 (Zon Barat) serta 22 Jun hingga 28 Jun 2021 (Zon ASEAN) di venue yang terpilih secara format karnival.

Setiap pasukan dari zon ASEAN akan bermain dalam 3 perlawanan diikuti separuh akhir zon ASEAN pada 10 atau 11 Ogos dan seterusnya perlawanan akhir zon ASEAN pada 25 Ogos 2021.

Juara ASEAN akan kemudian akan menentang juara dari zon selatan, tengah dan timur di peringkat separuh akhir ‘Inter-Zonal’ pada bulan September 2021. Perlawanan akhir akan diadakan pada 26 November 2021.

Baca artikel lain mengenai saingan peringkat Asia melalui pautan dibawah. 

Format Karnival Jadi Pilihan Anjur Saingan AFC Champions League Dan AFC Cup 2021

Ini Mekanisme Undian Saingan AFC Champions League 2021 Yang Penyokong JDT Wajib Ambil Tahu

Mekanisme Undian Saingan AFC Cup 2021 Yang Perlu ‘Dihadam’ Peminat Kedah Dan Terengganu