Saingan AFC Cup 2018, Malaysia hanya mempunyai 1 wakil sahaja iaitu Johor Darul Ta’zim selepas ada pasukan yang tidak berjaya memenuhi syarat yang telah ditetapkan.

Jumlah Mata AFC MA 2017

Untuk rekod, dalam saingan AFC Cup 2017, Malaysia berjaya mengutip 4.395 mata hasil usaha Johor Darul Ta’zim dan Felda United.

Bagi kutipan mata setiap pasukan bagi musim 2017, Johor Darul Ta’zim mengutip 6.233 mata hasil dari 4 kemenangan serta 1 seri dalam peringkat kumpulan, mata bonus ke peringkat kalah mati serta 1 kali menang dalam perlawanan timbal balik bertemu Ceros Negros.

Selain itu, Johor Darul Ta’zim juga berjaya mengutip 0.45 mata apabila beraksi dalam saingan kelayakan AFC Champions League. Manakala bagi Felda United pula mengutip 1.667 mata hasil dari 1 kali menang dan 2 kali seri dalam peringkat kumpulan.

Jumlah Terkini Mata AFC MA 2018

Musim 2018, Johor Darul Ta’zim merupakan wakil tunggal Malaysia di saingan bola sepak peringkat kelab Asia. Sehingga kini, 4 perlawanan peringkat kumpulan telah berlangsung dan Johor Darul Ta’zim telah mencatat 2 kali menang, 1 kali seri dan 1 kekalahan.

JDT-vs-Song-Lam

Berdasarkan keputusan tersebut, ia telah menyumbang sebanyak 2.333 mata AFC MA kepada Malaysia tidak termasuk 0.300 mata yang diperolehi dalam peringkat kelayakan AFC Champions League 2018.

Jika dibandingkan dengan tahun 2017, jumlah mata yang telah dikutip adalah 4.395 mata dan melihat kepada keadaan semasa, JDT telah berjaya mencapai 59.91% mata dari 2017.

Berbaki 2 perlawanan peringkat kumpulan, jika berjaya menang semua baki perlawanan peringkat kumpulan, Johor Darul Ta’zim mampu memintas jumlah mata MA yang diperolehi pada 2017.

Kelab Filipina Akan Dapat Slot AFC Champions League Musim 2021

Walaupun Malaysia sudah berjaya mendapatkan slot dalam saingan AFC Champions League 2019 dan 2020, Johor Darul Ta’zim yang merupakan wakil tunggal Malaysia perlu mengutip mata sebanyak mungkin dalam saingan AFC Cup 2018.

Musim 2019, 1 pasukan Malaysia akan beraksi dalam saingan AFC Champions League dan kebarangkalian untuk mengutip mata bagi AFC MA Ranking adalah agak rendah. Sebagai contoh semasa adalah Hong Kong, tidak berjaya mengutip mata yang banyak apabila beraksi dalam saingan kelab tertinggi di Asia, dan telah mengakibatkan ranking AFC MA mereka jatuh.

Berdasarkan prestasi dan statistik semasa, kelab dari Filipina bakal mendapat slot automatik dalam saingan AFC Champions League 2021. Dalam saingan AFC Cup, kelab dari Filipina adalah yang terkuat di ASEAN dan mereka akan terus beraksi dalam saingan AFC Cup sehingga 2020.