Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John mencadangkan agar kalendar Liga Malaysia diubah mengikut format liga di Eropah yang memulakan musim baharu dari bulan Ogos hingga Mei setiap musim.

AFC sebelum ini telah mengumumkan jadual pertandingan untuk tahun 2023 hingga 2024 yang turut memberi kesan kepada perjalanan liga di semua negara Asia. Jadual baharu itu menyaksikan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC akan berlangsung pada bulan September 2023 hingga Mei 2024.

Walaupun setiap negara anggota tidak wajib mengubah format liga masing-masing mengikut kalendar Ogos-Mei, namun ia disarankan agar setiap pasukan dapat menandatangani pemain import berkualiti pada jendela perpindahan yang akan datang.

“Bukan semua orang perlu mematuhi perkara ini tetapi jika mereka boleh berubah maka ia perlu disegerakan. Kami melihat pada jendela perpindahan di mana semuanya akan sama,” kata Windsor.

“Inilah sebabnya kebanyakan pemain dari Asia tidak boleh menyertai kelab Eropah kerana jadual jendela perpindahan berbeza, jadi ini adalah faktor penting.

“Jika Liga Malaysia mahu mengubahnya (mengikut kalendar Ogos-Mei AFC), terpulang kepada mereka. Terdapat banyak kelebihan jika mereka mengikuti tarikh ini,” katanya dipetik dalam New Straits Times.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam melalui kenyataan dalam Harian Metro pada 28 Julai lalu berkata, perkara itu masih di peringkat kajian dan ia memerlukan masa sekurang-kurangnya dua ke tiga tahun sebelum perubahan itu boleh dilaksanakan.

“Masalah besar kita adalah kalendar musim liga berjalan dari Januari hingga Disember, di mana kita mula saingan pada Februari hingga November, dan sekarang pula kita kena habiskan pada Disember kerana ACL dan Piala AFC masih bermain pada Disember.

“Tambahan lagi tempoh aksi peringkat kumpulan ACL berlangsung ‘back half the year’. Disebabkan ini, kita tak boleh nak agak bila Piala AFF akan diadakan, di mana biasanya ia pada hujung tahun. Tapi kalau kalendar AFC habis pada bulan Disember, itu bermakna kalendar AFF (Piala AFF) akan mula pada Januari dan bila pula Piala AFF akan habis?.

“Jadi bila pula pasukan akan berehat dan menjalani pramusim, dan bila pula kita (Liga Malaysia) nak mula. Ini adalah rantaian yang akan beri kesan bukan saja dalam pertandingan bawah AFC tapi kita juga, persoalannya adakah kita perlu menukar kalendar musim kita?.

“Jadi kita kena cari mekanisme baharu untuk menyokong semua kelab kita yang beraksi di peringkat AFC, di mana kalendar liga kita perlu menyokong kalendar AFC, kelayakan Fifa, kelayakan AFC, Sukan Sea dan Piala AFF agar kita boleh mulakan kembali liga kita dengan perubahan kalendar,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Piala FA 2022: Rahadiazli Bawa Terengganu Mara Ke Final Jumpa JDT

Piala FA 2022: JDT Mara Ke Final Selepas ‘Tibai’ Penang 6-1

Gol Jarak Jauh Sean Selvaraj Tarik Perhatian Media Antarabangsa

Liga Super 2022: Amri Yahyah Wira Kebangkitan Sabah Atasi Melaka