Skuad B-23 tahun Thailand memanggil seramai 10 pemain yang berpangkalan di luar negara dalam senarai awal bagi menghadapi saingan AFC B-23 tahun yang akan berlangsung di Uzbekistan pada 1 hingga 19 Jun ini.

Antara pemain berpangkalan di luar negara yang dipanggil ialah Jonathan Khemdee, Nicholas Mickelson (Odense Boldklub, Denmark) dan Yannick Nussbaum (BSC Young Boys, Switzerland) yang beraksi di posisi pertahanan.

Di bahagian tengah, ketua jurulatih skuad B-23 tahun negara itu, Worrawoot Srimaka memanggil Thanawat Suengchitthawon (Leicester City, England), Ben Davis (Oxford United, England), Channarong Promsrikaew (Union Adarve, Sepanyol) dan Chayapipat Supunpasuch (Estoril, Portugal).

Di bahagian serangan pula, Worrawoot memanggil Achitpol Keereerom (FC Augsburg, Jerman), Marcel Sieghart (SC Olching, Jerman) dan Sittichok Paso (FC Ryukyu, Jepun) sekaligus melengkapkan senarai 10 pemain luar negara yang dipanggil.

Selain itu, Thailand juga diperkuatkan oleh pemain muda yang beraksi di liga domestik seperti Ekanit Panya (Chiangmai United), Kritsada Kaman (Chonburi), Airfan Doloh, Suphanat Mueanta (Buriram United) dan Patrick Gustavsson (Chiangmai FC).

Thailand diundi dalam kumpulan C pada saingan AFC B-23 tahun kali ini bersama Korea Selatan dan dua lagi pasukan dari Asia Tenggara iaitu Malaysia dan Vietnam. Skuad Gajah Perang berjaya memenangi pingat perak di temasya Sukan SEA 2021 yang berakhir baru-baru ini.

Thailand akan turun menentang Vietnam pada aksi pembukaan pada 2 Jun ini manakala Malaysia akan menghadapi Korea Selatan. Pada aksi kedua peringkat kumpulan, Thailand akan menghadapi Malaysia pada 5 Jun manakala Vietnam akan turun menentang Korea Selatan.

Aksi terakhir kumpulan menyaksikan Thailand akan berdepan Korea Selatan manakala Malaysia akan menentang Vietnam. Dua perlawanan ini akan berlangsung pada 8 Mac.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

Fokus Terhadap Pasukan Senior, Alexandre Polking Tinggalkan Skuad B-23 Thailand

Kim Pan Gon Sedang Siapkan Senjata Rahsia Untuk Skuad Harimau Malaya

Park Hang-seo Tinggalkan Skuad B-23 Tahun Vietnam