Skuad B-23 tahun Vietnam gagal untuk mengikut jejak langkah Thailand yang mara ke peringkat suku akhir saingan AFC B-23 Tahun apabila tewas kepada Korea Utara dengan keputusan 2-1 semalam.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Rajamangala, skuad bimbingan Park Hang-seo itu wajib menang bagi melayakkan diri ke peringkat suku akhir.

Mereka bermula dengan baik apabila mendahului pada minit ke-15 menerusi jaringan Nguyen Tien Linh dimana beliau bijak untuk memanfaatkan hantaran dari sebelah kanan.

Namun, pada minit ke-25, penjaga gol Vietnam, Bui Tien Dung gagal menangkap kemas sepakan percuma yang diambil oleh Kang Chuk-Col sekaligus memberikan jaringan penyamaan bagi Korea Utara. Separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan seimbang.

Memasuki separuh masa kedua, kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan namun nasib nyata berpihak kepada Korea Utara apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti pada minit-minit terakhir permainan.

Ri Chung-Gyu menyempurnakan sepakan penalti tersebut sekaligus memberikan kemenangan pertama Korea dalam saingan edisi kali ini dan menyingkirkan Vietnam.

Meskipun meraih kemenangan, Korea Utara tidak berjaya untuk mara ke peringkat suku akhir dimana Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jordan menjadi wakil daripada kumpulan D di peringkat kalah mati.

Di peringkat suku akhir, Jordan akan bertemu Korea Selatan manakala UAE akan berdepan pasukan juara, Uzbekistan.

Baca artikel lain mengenai saingan AFC B-23 Tahun di sini:

Akira Nishino Bangga Dengan Prestasi Pemain Dalam Saingan AFC B-23 Tahun

Thailand Iringi Australia Ke Peringkat Suku Akhir Saingan AFC B-23 Tahun

Jepun Tersingkir Dari Saingan AFC B-23 Tahun