Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah memanggil semua wakil persatuan dan pengurusan liga dari seluruh negara Asia untuk menghadiri mesyuarat tergempar bagi berbincang mengenai penularan wabak Coronavirus yang semakin serius sehingga memberi kesan kepada aktiviti bola sepak.

Menurut kenyataan rasmi, mesyuarat untuk wakil dari Zon Asia Timur akan diadakan di Kuala Lumpur pada hari isnin ini manakala mesyuarat untuk wakil dari Zon Asia Barat akan berlangsung pada 7 dan 8 Mac 2020.

“Ini adalah saat yang paling mencabar, tetapi AFC akan bekerja keras tanpa mengenal penat lelah untuk memantau keadaan, termasuk pelbagai sekatan perjalanan, sentiasa berhubung dengan pengurusan Persatuan, Liga dan pemegang taruh.

“Kami berterima kasih diatas sokongan yang kami terima dari semua pemegang taruh kami, termasuk rakan dan agensi komersial dan penyiaran kami, ketika kami berusaha melindungi keselamatan dan kesejahteraan semua pemain, pegawai dan penonton kami sambil memastikan integriti pertandingan,” kata Setiausaha Agung AFC, Dato’ Windsor John.

AFC juga sedang berbincang dengan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) mengenai kemungkinan akan menunda beberapa perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 yang berlangsung pada bulan Mac depan.

Wabak Coronavirus yang melanda negara Asia sejak awal Februari telah mengakibatkan beberapa perlawanan Liga Super China, J-League dan K-League tidak dapat berlangsung seperti biasa berikutan perintah daripada kerajaan untuk melindungi tahap kesihatan pemain dan pegawai pasukan.

Malah, kelab dari Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) turut menerima tempiasnya dimana perlawanan AFC Champions League menentang kelab China, Guangzou Evergrande yang sepatutnya dijalankan pada Mac ini ditunda ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Baca artikel lain berkaitan dengan penularan wabak coronavirus di Asia sehingga menjejaskan aktiviti bola sepak. 

J.League Umum Tunda 94 Perlawanan Liga Dan Piala Liga Sehingga Pertengahan Mac 2020 Akibat COVID-19

Liga Korea Terpaksa Ditangguhkan Kerana Wabak Coronavirus

RASMI: AFC Ubah Jadual 3 Perlawanan Pertama AFC Champions League Akibat Isu Coronavirus Di China

Liga Super China Musim 2020 Ditangguhkan Kerana Wabak Coronavirus