Pengurus skuad Malaysia bawah 19 tahun (B-19), Datuk Kamarul Ariffin mengesahkan adik kepada bintang muda, Wan Kuzain iaitu Wan Kuzri Wan Kamal bakal menyertai pasukan itu bagi menghadapi Kejohanan AFC B-19 2020 di Uzbekistan pada bulan Oktober depan.

Menurut kenyataannya dalam Bernama, Wan Kuzri yang beraksi bersama kelab St Louis FC dalam saingan USL Championship di Amerika Syarikat dijangka tidak berdepan masalah dalam melengkapkan proses dokumentasi.

“Saya diberi taklimat bahawa selain daripada pemain sedia ada, kami sedang memantau secara dekat satu atau dua lagi pemain yang akan diserap dalam skuad B-18. Sensasi sedikit, Wan Kuzri iaitu adik kepada Wan Kuzain yang beraksi di Amerika Syarikat adalah dalam perancangan utama kami.

“Kami jangkakan tiada masalah kerana kedua orang tuanya warga Malaysia dan beliau masih di bawah 21 tahun. Kami sedang berhubung rapat dengan beliau untuk langkah seterusnya jika kami boleh memulakan sesi latihan,” katanya.

Wan Kuzri sepatutnya menyertai skuad negara dalam kem latihan di Jepun pada bulan Mac lepas namun ia terpaksa ditangguhkan kerana wabak pandemik.

“Dia amat berminat untuk menyertai kami. Mengikut perancangan asal beliau akan diterbangkan dari Amerika Syarikat ke Jepun bagi menyertai sesi latihan di sana, namun perancangan itu terbatal kerana pandemik COVID-19,” jelasnya.

Kamarul turut mendedahkan mereka sedang komited untuk membentuk barisan yang mantap bagi mencapai sasaran layak ke Piala Dunia B-20 pada tahun 2021. Dua lagi pemain dari Sabah dan Melaka berpotensi diserapkan dalam skuad itu.

“Kami amat komited untuk melayakkan diri ke Piala Dunia B-20 2021, untuk menjadi pasukan pertama Malaysia beraksi secara merit ke Piala Dunia. Ia bukan misi mustahil, memandangkan kita pernah menang dengan kuasa besar Asia seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Australia. Jurang itu tidak besar lagi,” katanya.

73274741_2476335975796485_43293257458778112_n
FOTO: FAM

Skuad Malaysia B-19 yang muncul sebagai juara kumpulan G kelayakan AFC B-19 pada bulan November tahun lepas diletakkan dalam balang tiga undian AFC B-19 bersama Vietnam, Iraq dan Kemboja.

Selain Malaysia, 4 pasukan dari Asia Tenggara yang mengesahkan tempat ke kejohanan itu ialah Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos.

Ini juga merupakan penampilan yang ke 24 Malaysia dalam kejohanan AFC B-19 dan mempunyai rekod sebagai naib juara pada tahun 1959, 1960 dan 1968.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan Malaysia B-19 melalui pautan dibawah.

Undian AFC B-19 Bermula Pada Bulan Jun, Malaysia Diletakkan Dalam Balang Tiga

Jaringan Jarak Jauh Luqman Hakim Tarik Perhatian Selebriti Popular Tempatan

Kelayakan AFC B-19: Aiman Afif Bantu Malaysia Catat Kemenangan Besar Ke Atas Kepulauan Mariana Utara