Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Pemain sayap, Adib Abdul Ra’op, sama sekali tidak menyangka mampu meraih tempat dalam kesebelasan utama bersama Penang FC pada awal musim ini walaupun hadir sebagai antara muka baharu di dalam pasukan.

Justeru, Adib yang merupakan bekas pemain Perak FC berazam tidak mahu mensia-siakan peluang diberikan selain mahu kekal konsisten dalam tiap perlawanan bagi membantu cabaran Penang,musim ini.

“Sangat bersyukur kerana saya diturunkan dalam kesebelasan utama dalam tiga perlawanan lepas, ini satu permulaan baik bersama Penang.”

“Saya rasa buat keputusan tepat untuk hadir ke sini dalam kembangkan lagi karier ke satu tahap yang lebih baik.”

“Walaupun begitu,saya masih belum berpuas hati dengan tahap permainan saya kerana masih cuba memahami corak permainan pasukan selain mencari keserasian dengan pemain baharu.”

“Saya juga faham jangkaan tinggi dari penyokong Penang namun saya akan berusaha dari tiap perlawanan yang dilalui untuk memberikan impak kepada pasukan,”katanya.

Adib Ra’op yang berusia 23 tahun pada musim lalu antara bakat muda menyerlah di Perak selepas pemergian beberapa pemain utama di pertengahan musim seperti J.Partiban, Kenny Pallraj dan Nazirul Naim Che Hashim.

Adib meraikan jaringan pada pertemuan Piala FA bertemu Bukit Tambun FC bersama Danial Ashraf, Rafiuddin Roddin dan Endrick Dos Santos. Kredit Foto: Penang FC

Adib menjaringkan dua gol dalam empat penampilan bersama Perak II manakala bersama Perak, dia membuat 24 kemunculan selain meledak satu jaringan.

Penang tewas 0-1 kepada JDT dalam aksi pembukaan di Stadium Sultan Ibrahim sebelum terikat seri 1-1 pada perlawanan kedua berdepan Melaka United FC di Stadium Bandaraya.

Menurut Adib, dia masih yakin Penang ada potensi mengulangi pencapaian musim lalu apabila berjaya menamatkan tempat ketiga Liga Super walaupun permulaan perlahan di awal musim.

“Masih terlalu awal untuk perkatakan peluang Penang pada musim ini kerana kami baharu sahaja lalui dua perlawanan dengan aksi pertama berdepan JDT.”

“Tambahan kami hanya turun dengan tiga pemain import ekoran Casagrande dan Endrick digantung dalam dua perlawanan berkenaan.”

“Saya rasa kami boleh peroleh keputusan lebih baik selepas melalui beberapa perlawanan lagi, tambahan masa rehat yang ada ini boleh digunakan sepenuhnya untuk pasukan perbaiki kelemahan,” katanya.

Aksi seterusnya Penang selepas ini pada pentas Liga Super ialah berdepan Sarawak United di Stadium Negeri pada 5 April depan.

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group