Ketua pasukan skuad B-22 tahun negara, Adam Nor Azlin menggesa agar para peminat tidak melontarkan kritikan terhadap pasukan khususnya di laman media sosial ketika prestasi skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu tidak begitu baik.

Setelah tewas kepada pasukan Filipina pada perlawanan peringkat kumpulan A temasya Sukan SEA 2019 Jumaat lalu, skuad B-22 tahun negara mendapat kritikan pedas terutamanya dari penyokong dimana sesetengah daripada mereka mahu Datuk Ong meletak jawatan.

Adam Nor Azlin
Sumber Gambar: FAM

Adam turut menerima tempias apabila ramai pihak mempersoalkan kredibiliti beliau sebagai seorang kapten. Pemain Johor Darul Ta’zim ini meminta peminat untuk lebih positif dan memberikan sokongan bagi mengharungi baki dua perlawanan peringkat kumpulan.

“Saya sedar peminat kini mengkritik dan mengecam pasukan di media sosial. Bagaimanapun, saya harap mereka menghentikan kecaman. Pemain tidak perlu perkara itu ketika ini.

“Sudah tentu kami kecewa. Sebagai pemain, sudah tanggungjawab kami untuk menjaga maruah pasukan negara di atas padang,” kata Adam Nor Azlin menurut laporan NST.

Tambah bekas pemain Selangor itu, beliau memahami kekecewaan penyokong apabila pasukan negara tewas kepada pasukan Filipina yang dianggap bukan lawan setanding bagi Malaysia.

Adam Nor
Sumber Gambar: FAM

“Saya faham peminat tidak berpuas hati kerana kita kalah kepada Filipina yang dianggap tidak terlalu kuat di rantau Asia Tenggara ini.

“Namun perjalanan masih belum berakhir. Kita masih lagi mempunyai peluang untuk bangkit. Kami perlu sokongan daripada peminat,” tambah Adam.

Malaysia akan turun menentang pasukan Timor-Leste pada hari ini.

Baca artikel lain mengenai pasukan B-22 tahun negara di sini:

Datuk Ong Kim Swee Mahu Pemain Segera Bangkit

OKS Anggap Kekalahan Kepada Filipina Memalukan

Sukan SEA 2019: Ong Kim Swee Anggap Malaysia Masih Ada Peluang Ke Separuh Akhir