Ramai sudah sedia maklum dengan kemelut penyudah yang dihadapi oleh Harimau Malaya sejak kebelakangan ini. Sehingga pada suatu tahap, kita diaibkan dengan keputusan seri menentang negara kerdil seperti Bangladesh, Mongolia, Timor Leste dan juga Flipina (pada tahun 2015). Macam-macam taktikal dah dipraktikkan, begitu juga wajah pengendali yang silih berganti, pemain berbeza keluar masuk bagi menyelesaikan masalah namun krisis masih lagi berlarutan.

Semenjak kemarau gol melanda Safee Sali, pasukan negara seolah olah ketandusan baka penyerang sejati. Persoalannya, adakah penyerang tempatan kita sememangnya tidak memiliki naluri pembunuh? Atau kita sendiri yang menjadi punca berlakunya kepupusan nombor 9 sejati di negara ini?

Ghairah kejar kejayaan

Sudah menjadi lumrah penyokong untuk sentiasa dahagakan kejayaan apabila menyokong pasukan kesayangan, dan apa pula jalan pintas terbaik untuk dapatkan kejayaan? Anda beli pemain yang terbaik, anda akan cari penyerang terbaik walaupun itu bermakna pihak pengurusan terpaksa merantau jauh ke ceruk dunia ataupun berhadapan dengan agen yang senantiasa lengkap dengan katalog pemain import yang bersesuaian dengan kantung wang pengurusan.

Diogo Luis Santo

Sumber Gambar: Yahoo

Mentaliti “Asal ada duit, semua boleh jalan ini” banyak dipraktikkan oleh pasukan pasukan “kaya” di Liga M supaya mereka mampu “membeli” kejuaraan untuk dihadiahkan kepada penyokong yang tersayang. Bilangan pemain import yang optimum seharusnya 1 atau 2, maksimum 3. 1 di hadapan, 1 di tengah atau di bahagian pertahanan.

Kalau kedua dua posisi penyerang sudah diberikan kepada pemain import, bagaimana pula dengan nasib penyerang tempatan? Benar, kehadiran pemain import mampu untuk menggalakkan persaingan yang sihat dalam kalangan pemain, lagi lagi penyerang. Tapi bagaimana pula kalau kualiti penyerang yang dibawa masuk cuma sama taraf saja dengan kualiti anak watan kita? Ah sudah. Apabila masalah ini timbul, krisis ini membawa kita ke faktor kedua.

Takut duit rugi!

Antara masalah biasa yang sudah lama bersarang dalam liga negara kita. Apabila pasukan sudah berbelanja besar untuk membawa masuk pemain import “terbaik”, sudah tentu mereka ingin mengerah kudrat import tersebut sebanyak mungkin. Apa maknanya? Maknanya mereka akan tetap diletakkan sebagai pemain starting eleven walaupun pada hakikatnya prestasi dan tahap kecergasan mereka tidak berada ditahap yang memuaskan.

Kipre Tchetche

Sumber Gambar: Terengganu FC

Kadang-kadang pemain yang dibeli ini langsung tidak sesuai dengan taktikal yang diterapkan oleh jurulatih, atau bukan pemain yang diinginkan oleh jurulatih. Itu tidak ditambah lagi dengan masalah disiplin pemain import itu sendiri. Pasukan sudah mengeluarkan perbelanjaan yang untuk mereka, sudah tentu satu kerugian yang besar untuk membiarkan mereka makan gaji buta dibangku simpanan. Jadi siapa yang rugi? Kita semua!

Pasukan rugi kerana wang yang banyak dibelanjakan untuk pemain import yang tidak berkualiti manakala penyerang kita tidak mendapat minit permainan yang cukup bagi memastikan diri mereka kekal tajam dan bernafsu dihadapan pintu gol. Bercakap tentang minit permainan

Penyerang negara kurang minit bermain

Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa penyerang di liga sosial atau liga komuniti adakalanya lebih berbisa daripada mereka di Liga Super, kalau tak, masakan Terengganu sanggup turun merisik kelab Ultimate FC untuk dapatkan tanda tangan Nabil Ahmad Latpi? Ingat lagi Abdul Malik Mat Ariff? Dulu bermain untuk Kuantan FA di Liga Bola Sepak Rakyat, kini di Terengganu dan menjaringkan bebrapa gol. Apa maknanya? Maknanya pemain yang sentiasa memperoleh minit permainan yang mencukupi mampu untuk develop diri mereka menjadi penyerang yang lebih lengkap, atau kata orang puteh, All-Rounder.

Nabil Ahmad Latpi

Sumber Gambar: Sport Malaysia

Hakikatnya penyerang juga sama seperti pemain lain, mereka memerlukan minit permainan yang mencukupi bagi mencapai atau mengekalkan prestasi sendiri, lagi-lagi kalau penyerang tersebut masih muda. Shahrel Fikri adalah contoh terbaik mengapa penyerang muda harus diberikan lebih banyak minit permainan bagi merangsang perkembangannya sebagai seorang pemain bola sepak.

Analogi cukup mudah, lebih banyak minit permainan = lebih banyak peluang. Mengapa kita mempunyai banyak pilihan diposisi penjaga gol, pertahanan, dan tengah/sayap? Mudah, kerana kebanyakan pemain import yang dibawa masuk ke Liga M adalah penyerang. Disebabkan itulah pemain diposisi lain mampu untuk bermain di tahap yang lebih baik daripada penyerang kita.

Shahrel Fikri Fauzi

Sumber Gambar: FAM

Kita juga harus ingat, adakalanya penyerang muda (atau penyerang tempatan yang lain) akan mengalami krisis gol tapi itu adalah lumrah biasa dalam lumrah bola sepak dan sebahagian daripada proses perkembangan tumbesaran sebagai seorang penyerang yang matang. Persoalannya, berapa lama penyokong mampu bersabar dengan penyerang muda yang gersang gol ini sebelum mereka akhirnya digantikan dengan pemain import? Itu tak campur lagi dengan pemain naturalisasi, dan bercakap pasal soal naturalisasi.

Dasar Naturalisasi Bakal Bunuh Penyerang Kita?

Dengan ura ura yang bertiup kencang mengenai proses naturalisasi Lee Tuck, Micahel Ijezie dan Paulo Rangel. Nampak gayanya Malaysia bakal memperoleh dua atau tiga orang dari luar negara. Namun begitu, kehadiran pemain naturalisasi ini walaupun mampu memberikan impak serta merta kepada pasukan negara, ia tetap tidak menyelesaikan kemelut kita untuk jangka masa yang panjang.

Lee Tuck

Sumber Gambar: Anoktranungfc.com

Tambahan lagi, kewujudan pemain naturalisasi ini juga bakal menggalakkan pasukan tempatan untuk mengimport lebih banyak penyerang atau pemain di posisi lain lantaran pemain naturalisasi kini sudah boleh didaftar sebagai pemain tempatan. Secara tak langsung, menyukarkan dan menutup peluang pemain tempatan untuk merebut posisi mereka dalam pasukan (Seperti yang telah diterangkan dalam faktor kedua).

Mungkin kita mampu bergembira apabila pemain naturalisasi ini membawa kejayaan kepada kita, namun sudah semestinya ia tidak semanis kejayaan AFF 2010, giant killing menentang Arab Saudi di AFC B23 2017 dan Korea Selatan pada Sukan Asia 2018 yang dicapai dengan 100% kudrat anak tempatan.

Kesimpulannya?

Kehadiran pemain import bukanlah sesuatu yang negatif sepenuhya, kehadiran mereka hanya akan menjadi negatif apabila kemasukan mereka tidak dipantau dan dibiarkan memonopoli posisi kritikal pasukan dengan sewenang-wenangnya. Jurulatih harus lebih yakin dengan kemampuan pemain tempatan dan pemain tempatan juga perlu membuktikan diri mereka apabila diberikan peluang. Apabila kesemua kehendak diatas dapat dipenuhi, maka sebahagian daripada ekosistem bola sepak negara yang sihat dapat dicapai. Mudah dimulut, payah di realiti.

Artikel di atas disumbangkan oleh Alif Azizan. Artikel ini disumbangkan oleh Saudara Alif Azizan.. Boleh ikuti beliau di sini.

Anda Mungkin Suka

© 2019 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group