Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Dua hari lalu, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali dengan panggilan Zamsaham telah mendedahkan kelab tersebut bakal menggunakan khidmat pemain import dari Greece, Sepanyol, England dan Indonesia bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2021.

Selain itu, beliau turut telah memuat naik foto seorang pemain dari Indonesia yang sudah pasti bakal menjadi tonggak buat Kelantan FC pada musim ini.

Meskipun Zamsaham tidak mendedahkan lagi nama pemain itu, terdapat informasi dari tanah seberang mendakwa individu tersebut ialah Natanael Siringoringo yang merupakan pemain sayap kanan kelab Liga 2 Indonesia, Sulut United.

Bermula daripada sukan futsal, sesuai dengan Kelantan FC?

Baru menjengah usia 21 tahun, Natanael merupakan bekas pemain SDR FC Binjai yang merasai pengalaman beraksi dalam saingan Liga Pro Futsal Indonesia 2018.

Selain itu, beliau turut pernah menyertai sesi pemilihan skuad futsal bawah 20 tahun Indonesia kendalian jurulatih dari Jepun, Kensuke Takahashi.

Malah menurut laporan Skor Indonesia, anak kelahiran Medan ini melihat sukan lima sebelah itu banyak memberikan manfaat buatnya ketika bermain bola sepak.

“Futsal membuatkan saya menjadi lebih tenang ketika menghadapi tekanan, walaupun lawan berada di belakang saya.”

Minatnya yang lebih mendalam dalam bola sepak telah membuatkan beliau memilih untuk menyertai Kelab Liga 2, PSMS Medan pada musim 2019 dan musim lalu khidmatnya diintai Sulut United.

Mempunyai asas yang baik dalam futsal pastinya memberikan kelebihan buat pemain dengan ketinggian 167 cm ini kerana Kelantan FC juga kelihatan mahu mempraktikkan metodologi futsal dalam bola sepak.

Hal ini kerana mereka telah melantik seorang jurulatih futsal tanah air yang tidak perlu diperkenalkan lagi, Qusmaini Noor Rusli sebagai Ketua Pembangunan dan Metodologi pasukan.

Elemen tersebut mungkin menjadi isyarat jelas bahawa khidmat Natanael menjadi perhatian barisan kejurulatihan Kelantan FC.

Turut mendapat perhatian Shin Tae-yong

Berbekalkan kelincahan, larian pantas serta kemampuannya dalam mencipta jaringan, Natanael menjadi antara tonggak kekuatan buat pasukan PSMS Medan menamatkan kempen liga musim 2019 di tangga keempat.

Sehubungan dengan sumbangan positif tersebut, Natanael hampir membawa cabaran Indonesia dalam Sukan SEA 2019 di Filipina tetapi beliau hampa di saat akhir apabila mengalami kecederaan sewaktu latihan pusat.

Rezeki bagaimanapun kembali berpihak kepadanya apabila pengendali skuad kebangsaan Indonesia yang turut bertindak selaku jurulatih skuad bawah 23 tahun, Shin Tae-yong memanggilnya untuk menyertai latihan pusat Sukan SEA 2021 di Vietnam. Sebelum ini, Natanael juga pernah dipanggil menyertai latihan pusat skuad senior.

Sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi yang bakal dikeluarkan oleh Kelantan FC sebaik sahaja selesai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

Kisah Johan Cruyyf Tak Mahu Pakai Jersi ‘Tiga Jalur’ Di Piala Dunia 1974

Selepas Dua Musim, Safiq Rahim Kembali Ke Pangkuan JDT

Luka Elsner Mahu Luqman Hakim Berikan Saingan Kepada Pemain Lain

Anda Mungkin Suka

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group