Perjalanan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 terhenti di Pusingan 16 selepas tunduk 0-5 ditangan Urawa Red Diamonds pada aksi yang berlangsung di Stadium Saitama, Jepun sebentar tadi.

Tanpa kelibat Leandro Velazquez yang digantung perlawanan, Nazmi Faiz Mansor mengisi kekosongan tersebut sambil beliau dibantu oleh Natxo Insa dan Jordi Amat.

Namun, Urawa Red yang merupakan juara bagi edisi 2007 dan 2017 tampil dengan cukup bertenaga dihadapan penyokong sendiri mereka untuk melakar kemenangan.

Arif Aiman Mohd Hanapi bagaimanapun terlebih dahulu menguji gawang Urawa Red seawal minit kedua selepas Yoshio Koizumi melakukan kesilapan hantaran tetapi rembatan pemain muda itu dinafikan penjaga gol, Shusaku Nishikawa.

ACL 2022: Aksi Dramatik Minit Akhir Pastikan JDT Lakar Sejarah Baharu

Aksi selepas itu memperlihatkan penguasaan penuh ditampilkan anak buah Ricardo Rodriguez Suarez dalam mengkucar-kacirkan jentera pertahanan JDT terutamanya menerusi hantaran pendek.

Tekanan yang diberikan memaksa Farizal Marlias melakukan kekasaran terhadap Yusuki Matsuo ketika perebutan bola udara untuk memberikan sepakan penalti buat pasukan tuan rumah.

Pemain pertahanan, Alexander Scholz yang mengambil sepakan tidak berdepan masalah untuk tenang menolak masuk bola bagi meletakkan Urawa Red dihadapan pada minit kelapan.

Jaringan itu nyata menyemarakkan lagi api perjuangan para pemain Urawa Red untuk menambah jaringan dan usaha mereka hampir membuahkan hasil pada minit ke-14 dan 15 tetapi rembatan David Moberg Karlsson serta Matsuo sedikit melewati palang.

Kehampaan itu bagaimanapun berjaya ditebus berselang empat minit kemudian apabila Karlsson melakukan sepakan percuma yang cukup cantik mencari ‘top corner’ untuk menewaskan Farizal.

Tidak cukup dengan kelebihan tersebut, Karlsson menambah jaringan ketiga pada minit ke-39 apabila beliau mudah menolak masuk bola hasil ‘cutback’ dilakukan Koizumi ketika pertahanan JDT gagal untuk mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya.

Kredit Foto: JOHOR Southern Tigers

Moberg Karlsson hampir melengkapkan hatrik pada masa kecederaan babak pertama , namun percubaannya ketika situasi serangan balas pantas dapat diselamatkan dengan baik Farizal.

Dua gerakan mudah dilakukan memberikan peluang buat penyerang gantian, Kasper Junker untuk menambah jaringan pada minit ke-84 dan 91 untuk melengkapkan malam cemerlang buat Urawa Red.

JDT turut mendapat beberapa peluang terbaik menerusi percubaan jarak jauh daripada Fernando Forestieri, Bergson da Silva dan Safawi Rasid tetapi wakil dari Jepun itu kental bertahan untuk menghalang gawang mereka daripada dibolosi.

Meskipun gagal untuk terus melakar kejutan, perjalanan JDT sehingga ke peringkat 16 kejohanan paling berprestij di Asia ini wajar dipuji.