Ulsan Hyundai meraih kemenangan sulung dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 selepas berjaya menundukkan Guangzhou FC 3-0 pada aksi ketiga kumpulan I yang berlangsung di Stadium Tan Sri Dato Hj Hassan Yunos, Larkin sebentar tadi.

Berdepan lawan yang menjadi mangsa belasahan pada dua aksi terdahulu, Ulsan hanya mengekalkan tiga pemain utama ketika beraksi menentang Johor Darul Ta’zim di kesebelasan utama.

Sedar risiko permainan terbuka akan menjerat diri, Guangzhou mempamerkan corak bertahan dengan mengerahkan hampir kesemua pemain mereka untuk berada di kawasan sendiri bagi mengekang asakan bertubi-tubi dilancarkan skuad kendalian Hong Myung-bo itu.

Keadaan itu nyata memberikan kesukarakan buat pemain Ulsan Hyundai untuk merobek gawang lawan yang dikawal penjaga gol muda, He Lipan.

Lipan cemerlang pada minit ke-20 selepas beliau menafikan dua percubaan pantas dijelmakan Park Chu Yong dan Mark Koszta bagi menghalang gawangnya daripada dibolosi dengan lebih awal.

Kredit Foto: AFC Champions League

Ketangkasan Lipan bagaimanapun terhenti pada minit ke-28 apabila beliau gagal untuk menghalang sepakan percuma cantik yang diambil Koszta sekali gus meletakkan wakil Korea Selatan itu dihadapan.

Ulsan Hyundai hampir menambah jaringan kedua berselang seminit kemudian tetapi Lipan lebih bersedia untuk menangkap kemas sepakan leret daripada Yun Illok susulan satu serangan balas pantas.

Chu Young yang merupakan bekas pemain Arsenal dan AS Monaco menambah jaringan kedua ketika perlawanan memasuki minit ke-57 setelah percubaan voli menarik dalam kawasan penalti diledakkannya berjaya menewaskan Lipan.

Jaringan ketiga Ulsan Hyundai terhasil pada minit ke-68 menerusi Yun Il-Lok yang mudah melakukan kuisan masuk hasil lorongan ‘backheel’ Won Du-Jae ketika situasi sepakan penjuru untuk mengesahkan kemenangan sulung buat juara edisi 2019 itu.

Kemenangan itu melonjakkan Ulsan Hyundai di tangga kedua dengan empat mata tetapi kedudukan mereka akan kembali berubah sekiranya aksi JDT bertemu Kawasaki Frontale pada malam ini memihak kelab dari Jepun itu.

Baca artikel lain mengenai perkembangan kejohanan ACL 2022 melalui pautan dibawah:

ACL 2022: JDT Terus Cipta Sensasi, Tundukkan Ulsan Hyundai

ACL 2022: BG Pathum Tidak Berdepan Masalah Atasi Jeonnam Dragons

ACL 2022: Kawasaki Frontale Cemerlang Tambah Duka Guangzhou FC