Perubahan dilakukan Benjamin Mora nyata tidak berjalan seperti diharapkan selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) tumpas 0-5 di tangan Kawasaki Frontale pada aksi keempat saingan kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 zon Timur yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Masih segar dengan kejayaan mengikat pendahulu Liga J1 pada perlawanan terdahulu, Mora melakukan lima pertukaran dengan merehatkan Bergson da Silva, Natxo Insa, Leandro Velazquez, Shahrul Mohd Saad dan Arif Aiman Hanapi.

Ketiadaan pemain-pemain tersebut dilihat memberikan kesempatan buat Kawasaki Frontale yang turut membuat rombakan kesebelasan utama untuk menyempurnakan peluang terhidang.

Malah, sensasi bola sepak Thailand, Chanathip Songkrasin menjadi antara watak utama dalam membantu kemenangan bergaya buat Kawasaki Frontale berikutan kelincahan corak permainannya.

Walaupun penguasaan seimbang disaksikan pada babak pertama tetapi skuad kendalian Toru Oniki lebih banyak mencipta peluang terbaik dan usaha mereka membuahkan hasil dengan tiga jaringan yang berjaya dijelmakan.

Jaringan pembukaan wakil Jepun itu hadir pada minit ke-14 selepas sepakan percuma Yasuto Wakizawa tidak mampu dihalang penjaga gol, Farizal Marlias untuk meletakkan Kawasaki Frontale di hadapan.

Berselang empat minit kemudian, Kawasaki Frontale hampir menambah jaringan kedua tetapi Farizal lebih bersedia untuk menafikan rembatan dalam kawasan penalti diledakkan Yu Kobayashi.

Kobayashi menebus kehampaan tersebut pada minit ke-31 apabila beliau mudah menolak masuk bola ketika tidak dikawal pertahanan tuan rumah susulan hantaran lintang dilakukan bek kanan, Miki Yamane.

Penyerang berusia 34 tahun itu terus membuktikan kemampuan hebat dimilikinya selepas satu lagi hantaran dilakukan Yamane disudahkan dengan cukup baik oleh beliau bagi menjadikan kedudukan 3-0.

Memasuki babak kedua, JDT cuba tampil dengan aksi lebih baik dan berupaya mendapatkan beberapa peluang untuk merobek gawang lawan yang dikawal Jung Sung-ryong tetapi ia masih belum mencukupi dalam usaha mereka memburu jaringan.

Sebaliknya, Kawasaki menambah dua lagi jaringan menerusi Marcinho dan Chanathip Songkrasin untuk memastikan kemenangan bergaya tersebut sekali gus meletakkan mereka di tangga teratas kumpulan I dengan lapan mata.

Baca artikel lain mengenai perkembangan kejohanan ACL 2022 melalui pautan dibawah:

ACL 2022: JDT, Kawasaki Frontale Sama Handal

ACL 2022: Ulsan Hyundai Raih Kemenangan Sulung Selepas Tundukkan Guangzhou

ACL 2022: JDT Terus Cipta Sensasi, Tundukkan Ulsan Hyundai