Kejutan berlaku dalam saingan AFC Champions League (ACL) hari ini apabila juara J-League, Kawasaki Frontale disahkan tersingkir dan gagal mara ke pusingan 16 selepas BG Pathum mencatat keputusan seri 0-0 menentang Jeonnam Dragons.

Kawasaki bergantung pada slot tempat kedua terbaik dalam kumpulan selepas wakil negara, JDT mencipta sejarah muncul sebagai juara kumpulan I apabila mengejutkan Ulsan Hyundai 2-1 petang tadi.

Namun, hasrat mereka untuk mara ke pusingan kalah mati itu berkecai apabila kedudukan terkini menyaksikan kelab itu gagal memintas Melbourne City dan Kitchee FC untuk merebut satu lagi slot terakhir tempat kedua terbaik.

Ia berpunca daripada kekalahan 2-3 mereka kepada Ulsan Hyundai walaupun mencatat kemenangan besar ke atas JDT, 5-0 beberapa hari lalu. Sebarang keputusan menentang pasukan tercorot, Guangzhou FC tidak dikira.

Setakat ini, hanya Urawa Red Diamonds dan Jeonbuk Hyundai Motors sudah mengesahkan tempat ke pusingan 16 melalui slot tempat kedua terbaik.

Ketiadaan Shanghai Port yang menarik diri daripada saingan ACL musim ini jelas memberi kesan dalam penentuan 16 pasukan yang mara ke pusingan kalah mati.

Untuk menentukan tiga kelab terbaik di tempat kedua yang layak ke Pusingan 16, keputusan perlawanan membabitkan pasukan yang berada di kedudukan tercorot dalam semua kumpulan tidak akan dikira.

Selain JDT, 4 lagi kelab yang sudah mengesahkan tempat di pusingan kalah mati itu ialah Urawa Red Diamonds, Daegu FC, Jeonbuk Hyundai Motors dan Vissel Kobe. Bagaimanapun, lawan JDT di pusingan 16 hanya akan diketahui pada hari esok.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Disajikan Pemandangan Indah, Bali United Bina Pusat Latihan Rasmi Di Tepi Pantai

Singapura Umum Takayuki Nishigaya Sebagai Ketua Jurulatih Baharu

Penyokong Azul Claro Numazu Kibar Bendera Malaysia Sebagai Tanda Sokongan Kepada Hadi Fayyadh