Kawasaki Frontale menambah duka buat Guangzhou FC berjaya membelasah wakil China tersebut dengan keputusan 8-0 pada aksi kedua Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (ACL) 2022 zon Timur yang berlangsung di Stadium Tan Sri Dato Hj Hassan Yunos, Larkin sebentar tadi.

Sedar hanya berhadapan dengan barisan pemain muda Guangzhou FC, Toru Oniki merehatkan sebahagian besar pemain yang beraksi pada aksi sulung tempoh hari termasuklah dua pemain import, Leandro Damiao dan Marcinha manakala Chanathip Songkrasin diturunkan buat kali pertama.

Jurang kualiti yang begitu ketara antara kedua-dua pasukan jelas kelihatan selepas Kawasaki Frontale berjaya menghasilkan tiga jaringan dalam tempoh 15 minit awal permainan.

Gol pembukaan terhasil seawal minit ketujuh berpunca daripada sepakan sudut diambil Yazuto Wakizawa terus mencari Kei Chinen yang menanduk masuk bola menewaskan penjaga gol, He Lipan.

Chinen tidak menunggu lama untuk menambah jaringan kedua setelah penyerang berusia 27 tahun itu bijak menyambar hantaran lintang dilakukan Ten Miyagi ke dalam kawasan penalti bagi melebarkan kedudukan.

Kredit Foto: AFC Champions League

Berselang dua minit kemudian, giliran pemain pertahanan tengah, Shintaru Kurumaya pula meletakkan nama selaku penjaring selepas beliau mudah menolak masuk bola hasil umpanan menerusi tandukan oleh Yu Kobayashi ketika situasi sepakan penjuru.

Tidak cukup dengan kelebihan tersebut, Kobayashi menambah dua lagi jaringan pada minit ke-21 dan 39 untuk para pemain melangkah ke bilik persalinan dengan kelebihan lima gol memihak wakil Jepun itu.

Memasuki babak kedua, Kawasaki Frontale menambah tiga lagi jaringan menerusi Ten Miyagi, Chanathip Songkrasin dan Shintaru Karuyama untuk mengesahkan kemenangan 8-0 sekali gus meletakkan mereka kini di tangga teratas dengan empat mata.

Satu lagi aksi melibatkan kumpulan I bakal berlangsung jam 10 malam ini dimana menemukan wakil negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juara Korea Selatan, Ulsan Hyundai di Stadium Sultan Ibrahim.

Baca artikel lain mengenai perkembangan kejohanan ACL 2022 melalui pautan dibawah:

ACL 2022: JDT Tampil Penuh Bergaya Belasah Guangzhou FC

ACL 2022: BG Pathum United, Melbourne City Berkongsi Mata

ACL 2022: Jaringan Minit Akhir Kawasaki Frontale Ikat Ulsan Hyundai