Kelab dari Korea Selatan, Ulsan Hyundai melengkapkan jumlah pasukan dalam kumpulan I untuk saingan AFC Champions League (ACL) musim 2022 selepas menewaskan kelab Thailand, Port FC, 3-0 di perlawanan play-off semalam.

Juara ACL 2020 itu turun beraksi dengan skuad yang tempang kerana beberapa tonggak utama mereka tidak dapat disenaraikan kerana disahkan positif COVID-19 sejak minggu lepas.

Lebih menarik, pemain yang berusia 19 tahun, Choi Gi-yun menjaringkan gol pembukaan Ulsan Hyundai pada minit ke 13 dalam penampilan sulung perlawanan profesional pertamanya.

Kemudian, pemain gantian iaitu Um Won-sang menambah gol kedua menerusi rembatan dalam kotak penalti pada minit ke 83 sebelum pemain import dari Brazil, Leonardo menyempurnakan sepakan penalti untuk gol ketiga sekaligus memastikan Ulsan Hyundai raih tiket ke peringkat kumpulan.

Dengan kemenangan itu, Ulsan Hyundai dimasukkan dalam kumpulan I bersama wakil negara, Johor Darul Ta’zim (JDT), juara J-League (Kawasaki Frontale) dan kelab Liga Super China, Guangzhou FC.

Aksi kumpulan I akan berlangsung di Malaysia kerana Johor Bharu telah diumumkan sebagai tuan rumah oleh AFC pada bulan lepas. Stadium Sultan Ibrahim dan Stadium Larkin akan menjadi venue rasmi perlawanan tersebut.

Saingan ACL musim 2022 akan dijalankan secara venue berpusat bagi membendung penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat di beberapa negara. Semua perlawanan peringkat kumpulan Zon Asia Timur akan berlangsung pada 15 April hingga 1 Mei 2022.

Ini kali keempat JDT bertanding dalam saingan ACL dan skuad kendalian Benjamin Mora itu pernah mengejutkan Kashima Antlers (1-0) di Stadium Larkin dan menewaskan juara Piala FA Korea Selatan, Suwon Samsung Bluewings, 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim.

Manakala perlawanan kumpulan F,G dan J akan berlangsung di Thailand dan Vietnam dipilih sebagai tuan rumah untuk kumpulan H.

Mereka dipilih menjadi tuan rumah kerana memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan oleh AFC dari segi keperluan logistik seperti kawalan keselamatan, kemudahan penerbangan dan fasiliti perubatan untuk ujian pengesanan COVID-19 kepada semua pemain serta pegawai pasukan.

Dengan barisan pemain berkualiti ditambah pula dengan kehadiran muka baharu yang berpengalaman, JDT mampu memberikan saingan sengit dan seterusnya mencipta sejarah mara ke peringkat kalah mati.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Nguyen Quang Hai Tinggalkan Hanoi FC, Mahu Beraksi Di Luar Negara

Filipina Mahu Dapatkan Khidmat Bienvenido Marañón Hadapi Sukan SEA Di Hanoi

Thailand Panggil Penyerang Chelsea Hadapi Piala Dubai B-23