Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kawasaki Frontale gagal menemui sentuhan jaringan diharapkan untuk kedua-dua pasukan terikat 0-0 pada aksi ketiga saingan kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Keputusan seri itu menyaksikan JDT terus kekal di tangga teratas selepas mengumpul tujuh mata, berkelebihan dua mata dihadapan Kawasaki Frontale manakala Ulsan Hyundai pula di tangga ketiga dan Guangzhou FC pula masih lagi tanpa sebarang mata.

Aksi lebih sukar terpaksa dihadapi skuad kendalian Benjamin Mora pada perlawanan ini selepas Kawasaki Frontale dilihat lebih mengawal permainan dengan pemain sayap kiri, Marcinho menjadi tumpuan mereka untuk mengkucar-kacirkan jentera pertahanan JDT.

Namun, jentera pertahanan JDT jelas cukup berdisiplin dalam usaha mereka mengekang asakan yang cuba dijelmakan sehingga pasukan lawan tidak mampu untuk mendapatkan sebarang percubaan tepat sepanjang perlawanan.

Satu-satunya percubaan tepat dihasilkan pada perlawanan ini ialah menerusi La’vere Corbin-Ong selepas rembatan padu kaki kiri diledakkannya berjaya ditepis keluar penjaga gol berpengalaman, Jung Sung-ryong pada minit ke-39.

Kredit Foto: JOHOR Southern Tigers

Anak buah Toru Oniki itu mendapat peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-53 tetapi ketua pasukan, Shogo Taniguchi gagal untuk menyambar umpanan menerusi tandukan dilakukan Kazuya Yamamura ketika situasi sepakan sudut.

Kesukaran untuk memecah masuk kawasan D pasukan tuan rumah memaksa pemain Kawasaki Frontale mengintai peluang untuk melakukan rembatan daripada luar kawasan penalti.

Usaha tersebut hampir membuahkan hasil pada minit ke-74 tetapi rembatan padu Asahi Sasaki susulan gerakan solo dilakukannya hanya singgah di tiang gol ketika Farizal Marlias sudah pun tertewas.

Kedudukan tanpa jaringan itu kekal hingga wisel penamat ditiupkan pengadil dari Arab Saudi, Mohammed Khled S Al Hoish untuk memastikan rekod tanpa kalah masih dipegang JDT dan juga buat Kawasaki Frontale selepas mengharungi tiga perlawanan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan kejohanan ACL 2022 melalui pautan dibawah:

ACL 2022: Ulsan Hyundai Raih Kemenangan Sulung Selepas Tundukkan Guangzhou

ACL 2022: JDT Terus Cipta Sensasi, Tundukkan Ulsan Hyundai

ACL 2022: BG Pathum Tidak Berdepan Masalah Atasi Jeonnam Dragons