Ketua jurulatih Guangzhou FC, Pan Yonghe memberi amaran awal bahawa pasukannya sedia memberi tentangan sengit kepada tuan rumah, JDT dalam aksi pertama AFC Champions League (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.

Pasukan itu kali ini turun dengan barisan pemain muda berusia bawah 22 tahun tanpa kelibat pemain daripada pasukan utama disebabkan oleh jadual padat Liga Super China dan penularan wabak pandemik COVID-19.

Selain itu, protokol kesihatan kerajaan China juga sangat ketat dimana mereka perlu dikuarantin selama 21 hari selepas pulang dari luar negara. Peraturan tersebut menyukarkan kelab itu untuk menggunakan khidmat pemain utama.

Walaupun tanpa tonggak utama, Yonghe yakin dengan kemampuan barisan pemain muda yang kebanyakannya merupakan produk akademi kelab itu.

“Ini sebahagian daripada strategi kelab untuk pembangunan pemain muda. Visi jangka panjang kami ialah melahirkan bintang baru daripada akademi Guangzhou.

“Tetapi untuk pertandingan ACL ini, kami akan lakukan yang terbaik dan menjadi lebih baik berbanding daripada musim lepas. JDT pasukan yang kuat dan mereka cemerlang dalam liga domestik, ada pesanan kepada mereka – kami tidak gentar,” katanya pada sidang media semalam.

Malah, Yonghe juga menjadikan ACL sebagai medan pendedahan untuk pemain muda Guangzhou FC walaupun sedar bakal menjadi pasukan belasahan berdepan dua lagi pasukan gergasi iaitu Ulsan Hyundai dan Kawasaki Frontale.

“Sebagai pemain muda, mereka sangat bermotivasi tinggi untuk menujukkan kemampuan di peringkat Asia. Inilah peluang untuk mendapatkan pengalaman dan meningkatkan prestasi di peringkat tertinggi,” jelasnya.

Ini kali keempat JDT bertanding dalam saingan ACL dan skuad kendalian Benjamin Mora itu pernah mengejutkan Kashima Antlers (1-0) di Stadium Larkin dan menewaskan juara Piala FA Korea Selatan, Suwon Samsung Bluewings, 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Skuad Kawasaki Frontale Termasuk Chanathip Songkrasin Sudah Tiba Di Johor Bahru

Tiket Menonton Perlawanan ACL 2022 Mula Dijual Kepada Umum Hari Ini

Shanghai Port Tarik Diri Daripada ACL 2022, Hanya Tiga Pasukan Tempat Kedua Terbaik Mara Ke Pusingan 16