Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali memimpin saingan kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 zon Timur selepas menundukkan Guangzhou FC 2-0 pada aksi kelima yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Ingin memberikan kesegaran kepada tonggak utama mereka dalam menghadapi aksi terakhir nanti [bertemu Ulsan Hyundai], Benjamin Mora memilih untuk membariskan Akhyar Rashid, Carli De Murga, Syameer Kutty Abba dan Syahmi Safari di kesebelasan utama.

Namun, pengendali dari Mexico itu kembali menyenaraikan Bergson da Silva, Leandro Velasquez dan Shahrul Mohd Saad untuk memperkuatkan jentera serangan.

Guangzhou FC bagaimanapun tampil dengan lebih berdisiplin ketika bertahan kerana sedar corak permainan terbuka sudah pasti akan membuatkan gawang mereka mudah dibolosi.

Taktikal bertahan diterapkan Pan Yong He itu jelas memberikan kesukaran buat jentera serangan JDT yang dilihat berhempas-pulas untuk menjelmakan serangan berbahaya ke arah Li Jiahao di gawangnya.

Tekanan hebat diberikan JDT memaksa pertahanan Guangzhou FC melakukan kekasaran terhadap Bergson untuk pengadil perlawanan dari Iran, Payam Heidari menghadiahkan sepakan penalti buat tuan rumah.

Kredit Foto: JOHOR Southern Tigers

Bergson yang mengambil sepakan pada minit ke-16 tidak berdepan masalah untuk menewaskan Jiahao meskipun penjaga gol muda tersebut sudah melakukan agakan tepat tendangan pemain import dari Brazil itu.

Kedudukan hampir berubah pada minit ke-33 tetapi tandukan Bergson selepas menerima umpanan lintang daripada Syahmi Safari sekadar singgah di palang gol manakala percubaan susulan dilakukannya pula melewati palang gol.

Guangzhou yang beraksi hanya untuk melengkapkan jadual memperkemaskan sedikit aksi pada babak kedua dengan beberapa kali cuba bagi memberikan tekanan buat pertahanan JDT. Tetapi pertahanan JDT tidak berdepan masalah untuk mengekang setiap kali asakan dihadapi mereka.

Ketika perlawanan semakin hampir untuk ditamatkan, pengadil sekali lagi memberikan sepakan penalti kepada JDT dan ia disempurnakan dengan cukup baik oleh Bergson bagi melebarkan kedudukan.

Kemenangan itu meletakkan JDT di tangga teratas berikutan rekod baik bertemu Ulsan Hyundai walaupun kedua-dua pasukan terikat dengan 10 mata manakala Kawasaki Frontale di tempat ketiga dengan lapan mata.

Dengan keadaan itu, JDT perlu mencatatkan kemenangan keatas Ulsan Hyundai untuk mencipta satu lagi sejarah iaitu layak ke pusingan seterusnya.