Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), La’Vere Corbin-Ong tersenarai bagi anugerah Pemain Pertahanan Terbaik saingan AFC Champions League (ACL) 2022.

Setelah saingan bagi musim 2022 melabuhkan tirai, ACL kini sedang mencari pemain terbaik bagi menerima anugerah individu dan mereka bermula dengan posisi pertahanan.

ACL memilih 12 pemain berdasarkan prestasi mereka bersama kelab masing-masing semasa saingan sedang berlangsung dan prestasi yang ditampilkan Corbin bersama JDT nyata menarik perhatian badan itu.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh ACL, Corbin mencipta sebanyak 3 bantuan gol dan beliau mencatat 30 duels won dan 30 recoveries semasa diturunkan dalam kesebelasan utama JDT.

“Menampilkan prestasi yang menarik perhatian dari Johor Darul Ta’zim ialah La’Vere Corbin-Ong, yang lariannya dari bek kiri membantu mencipta tiga gol untuk rakan sepasukannya ketika Harimau Selatan itu mara ke peringkat kalah mati buat pertama kali dalam sejarah kelab.

“Pemain berusia 32 tahun itu juga gagah di bahagian belakang dengan 30 duel yang dimenangi, manakala sejumlah 31 pemulihan membantu menunjukkan mengapa dia betul-betul menjadi pilihan utama bek kiri pasukan kebangsaan Malaysia yang tidak boleh dipertikaikan,” dipetik dari laman AFC.

Selain Corbin, 11 lagi pemain yang tersenarai adalah Saud Abdulhamid (Al Hilal), Hiroki Sakai (Urawa Red Diamonds), Fawaz Al Saqour (Al Shabab), Hwang Jae-won (Daegu FC), Aref Aghasi (Foolad Khouzestan), Ali Al Bulayhi (Al Hilal), Alexander Scholz (Urawa Red Diamonds), Irfan Fandi (BG Pathum United), Kim Jin-su (Jeonbuk Hyundai Motors), Mohammed Al Burayk (Al Hilal) dan Dhurgham Ismail (Air Force Club).

Peminat bolah mengundi Corbin untuk diangkat sebagai pertahanan terbaik di sini.