Meor Abdullah

Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Wakil Thailand, BG Pathum United meraih satu mata pada aksi sulung Kumpulan G Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (ACL) 2022 zon Timur selepas berjaya mengikat Melbourne City FC 1-1 pada aksi yang berlangsung di Leo Stadium, Pathum Thani sebentar tadi.

Kelab yang mendapat sentuhan dua penyerang sensasi rantau Asia Tenggara iaitu Teerasil Dangda dan Ikhsan Fandi Ahmad itu bagaimanapun tersentak pada minit ke-22 menerusi jaringan pendahuluan dihasilkan Andrew Nabbout.

Bekas pemain import skuad Negeri Sembilan itu meledakkan rembatan kaki kiri yang padu sekali gus membuatkan penjaga gol BG Pathum United, Kittipong Phoothawchuek hanya mampu melihat bola membolosi gawangnya.

BG Pathum pantas memberikan respon positif terhadap jaringan tersebut dengan satu hantaran lintang menarik dilakukan Ikhsan tetapi Worachit Kanitsribumphen mensia-siakan peluang dengan melakukan sepakan meliar ketika pintu gol lawan sudah pun terbuka luas pada minit ke-29.

Kekecewaan itu berjaya ditebus Teerasil ketika permainan memasuki minit ke-35 selepas tandukannya hasil hantaran lintang Pathompol Charoenrattanapirom tidak mampu dihalang Glover untuk kedudukan kembali terikat.

Tidak mahu lawan kembali memperolehi jaringan pendahuluan, Kittipong bertindak cemerlang dalam menafikan tandukan jarak dekat dilakukan Rostyn Griffiths pada minit ke-42 manakala beliau menggagalkan percubaan jarak jauh Matthew Leckie.

Teerasil juga terlepas peluang terbaik untuk menambah jaringan selepas rembatannya dalam kawasan penalti ditepis Glover dan percubaan susulan cuba dilakukan Ikhsan berjaya dikekang dengan cukup baik barisan pertahanan Melbourne City.

Ketika permainan semakin hampir untuk ditamatkan, Kittipong tenang menafikan percubaan ketika beliau hanya berhadapan dengan Jamie Maclaren untuk kedudukan tersebut kekal hingga tamat permainan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.

ACL 2022: Jaringan Minit Akhir Kawasaki Frontale Ikat Ulsan Hyundai

Saddil Ramdani Mahu Peminat Indonesia Hentikan Komen Negatif Terhadap Sabah

ACL 2022: Guangzhou FC Tidak Gentar, Sedia Kejutkan JDT

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group