BG Pathum United berjaya meraih kemenangan pertama dalam kempen Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (ACL) 2022 zon Timur selepas menundukkan Jeonnam Dragons 2-0 pada aksi yang berlangsung di Leo Stadium, Pathum Thani sebentar tadi.

Masih segar dengan kejayaan mengikat Melbourne City FC pada aksi sulung tempoh hari, pasukan tuan rumah mempamerkan aksi bertenaga dengan lebih banyak memberikan tekanan buat skuad kendalian Jeon Kyung-joon itu.

Ia jelas dibuktikan apabila BG Pathum United memperoleh tiga peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan pada separuh masa pertama tetapi penjaga gol Jeonnam Dragons, Kim Da-sol kental bertahan bagi mengelakkan gawangnya daripada dibolosi.

Da-sol bagaimanapun tidak mampu untuk mengekalkan kecemerlangan ketika permainan memasuki minit ke-51 selepas beliau gagal memintas hantaran lintang dari sebelah kanan pintu gol dilakukan Worachit Kanitsribumphen sekali gus memberikan ruang buat Pathompol Charoenrattanapirom untuk menolak masuk bola bagi meletakkan BG Pathum di hadapan.

Wakil dari Korea Selatan itu mendapat peluang terbaik untuk kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-65, namun rembatan leret penyerang gantian, Nika Kacharava dalam kawasan penalti diselamatkan penjaga gol, Kittipong Phoothawchuek.

Kredit Foto: AFC Champions League

Menyedari kelebihan satu jaringan masih belum selamat, anak buah Makoto Teguramori menambah jaringan kedua menerusi pertahanan tengah, Jakkapan Praisuwan pada minit ke-72.

Berpunca daripada sepakan penjuru yang diambil Sarach Yooyen, Jakkapan yang tidak begitu dikawal pertahanan lawan mudah menanduk masuk bola untuk membuatkan sekali lagi Da-sol terpaksa mengambil bola dalam gawangnya.

Tersentak dengan jaringan tersebut, para pemain Jeonnam Dragons cuba untuk bangkit bagi merapatkan defisit gol. Bagaimanapun, Kittipong dan pertahanan BG Pathum kental bertahan sekali gus memastikan tiga mata penuh diraih.

Kemenangan penting itu menyaksikan BG Pathum berada di tangga teratas kumpulan G dengan empat mata manakala Jeonnam yang kekurangan satu mata menghuni tangga kedua.

Dua lagi pasukan, Melbourne City dan United City dari Filipina akan beraksi pada jam 10.00 malam ini dalam usaha mereka mengubah kedudukan dalam kumpulan tersebut.

Baca artikel lain mengenai perkembangan kejohanan ACL 2022 melalui pautan dibawah:

ACL 2022: Kawasaki Frontale Cemerlang Tambah Duka Guangzhou FC

ACL 2022: BG Pathum United, Melbourne City Berkongsi Mata

ACL 2022: JDT Tampil Penuh Bergaya Belasah Guangzhou FC