Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar sejarah layak ke Pusingan 16 saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 selepas berjaya menundukkan Ulsan Hyundai 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan I yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Keputusan yang dicatatkan itu menyaksikan skuad kendalian Benjamin Mora tersebut sekadar menamatkan kempen kali ini sebagai juara kumpulan I dengan mengumpul 13 mata.

JDT yang bermula garang mendapat peluang terbaik seawal minit kedua tetapi hantaran ‘cutback’ Arif Aiman Mohd Hanapi susulan gerakan lincah di sebelah kiri pintu gol lawan gagal disempurnakan dengan baik Bergson da Silva.

Kehampaan itu ditebus Leandro Velazquez berselang tiga minit kemudian selepas pemain import dari Argentina itu meledakkan sepakan percuma cantik sekali gus berjaya membolosi gawang Ulsan Hyundai yang dikawal Jo Hyeon-woo.

Kredit Foto: JOHOR Southern Tigers

Kelebihan itu bagaimanapun hanya bertahan tidak sampai seminit apabila Jun Amano mengambil kesempatan di atas kegagalan Matthew Davies untuk mengeluarkan bola dari kawasan penalti dengan baik bagi membolehkan pemain berusia 30 tahun itu melakukan rembatan yang gagal diselamatkan Farizal Marlias.

Tuan rumah hampir kembali di hadapan pada minit ke-25, namun Fernando Forestieri yang mudah menolak masuk bola hasil hantaran Afiq Fazail terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid. Keputusan yang boleh dikatakan agak kontroversi dan nyata begitu tidak disenangi barisan pemain JDT.

Amano sekali lagi memberikan masalah buat pertahanan JDT yang dikepalai Shahrul Mohd Saad dan Shane Lowry selepas beliau memiliki peluang dalam kawasan penalti. Bagaimanapun, rembatannya dinafikan dengan baik Farizal pada minit ke-53.

JDT yang dilihat lebih menguasai permainan pada babak kedua turut hampa pada minit ke-61 selepas rembatan kaki kiri Leandro susulan gerakan lincahnya di luar kawasan penalti hanya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Ulsan Hyundai.

Leandro turut mendapat umpanan cantik Ramadhan Saifullan Usman ketika permainan memasuki minit ke-89 tetapi tandukannya lemah untuk mudah ditangkap kemas Hyeon-woo.

JDT terus bernafsu seminit kemudian dengan dua percubaan menarik tetapi Hyeon-woo bertindak cemerlang dalam menafikan percubaan baik daripada Ramadhan manakala percubaan Safawi pula sekadar singgah di tiang gol.

Tekanan hebat diberikan pasukan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila serangan akhir dilakukan Arif Aiman memaksa pertahanan Ulsan Hyundai, Park Yong-uh  tertampan bola ke gawang sendiri untuk mengesahkan sejarah baharu buat gergasi bola sepak tanah air itu.