Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mencatatkan kemenangan pada perlawanan kedua kempen Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (ACL) 2021 selepas berjaya menundukkan wakil Thailand, Ratchaburi Mitr Phol 1-0 pada aksi yang berlangsung  di Stadium Rajamalanga, Bangkok sebentar tadi.

Tewas tipis pada aksi sulung bertemu Nagoya Grampus Eight tempoh hari, JDT tampil dengan lebih kemas dengan menguasai permainan dan lebih banyak melancarkan serangan berbahaya ke arah skuad kendalian Sek-San Siripong itu.

Ia jelas terbukti apabila ketika perlawanan baharu berlangsung 28 saat, JDT sudah mula mengancam kubu Ratchaburi dengan percubaan voli daripada Safiq Rahim, namun usaha pemain tengah berpengalaman itu melewati palang gol.

Ketua pasukan Ratchaburi, Steeven Langil menguji gawang JDT yang dikawal Farizal Marlias pada minit kelima tetapi percubaannya dari luar kawasan penalti mudah ditangkap kemas penjaga gol berusia 35 tahun itu.

Anak buah Benjamin Mora itu hampir membuka tirai jaringan dengan lebih awal tetapi rembatan padu kaki kiri daripada Bergson Da Silva pada minit ke-18 sekadar singgah di palang gol ketika penjaga gol, Kampol Phattomakkakol sudah pun tertewas.

Berselang 11 minit kemudian, Kampol pula cemerlang dalam menafikan sepakan penalti yang diambil penyerang kelahiran Brazil itu selepas beliau dikasari Pawee Tanthatemee dalam kawasan penalti.

Bergson terus dihampakan susulan ketangkasan Kampol yang menafikan percubaan padu diledakannya dalam kawasan penalti pada minit ke-34 dan 45 untuk kedua-dua pasukan melangkah masuk ke bilik persalinan dengan kedudukan terikat tanpa jaringan.

Kecemerlangan Kampol bagaimanapun terhenti pada minit ke-47 setelah ‘turning’ cantik dilakukan Leandro Velazquez dalam kawasan penalti disudahkannya dengan percubaan kaki kiri yang terus mencari bucu pintu gol untuk memberikan kelebihan buat JDT.

Leandro hampir menambah jaringan kedua ketika perlawanan memasuki minit ke-53 tetapi percubaan dari luar kawasan penalti selepas menerima umpanan daripada Arif Aiman Mohd Hanapi membias terkena pertahanan lawan lalu tersasar ke sebelah kanan pintu gol.

Dua pemain gantian, Safawi Rasid dan Ramadhan Saifullah Usman turut berpeluang mengukuhkan kedudukan tetapi ‘placing’ cantik pemain kebangsaan itu sedikit tersasar dan peluang pada lewat permainan terkena tiang gol manakala rembatan Ramadhan pula dinafikan Kampol.

Kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan tiga mata pertama buat JDT bagi menduduki tangga kedua, ketinggalan tiga mata di belakang Nagoya Grampus.

Pohang Steelers yang tunduk 0-3 pada aksi bertemu Nagoya petang tadi, kini di tangga ketiga, hanya kekurangan perbezaan jaringan berbanding JDT dan Ratchaburi di kedudukan keempat tanpa sebarang mata.