Esok, juara Liga Super 6 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air apabila memulakan aksi pertama kumpulan G dalam saingan AFC Champions League musim 2020 menentang kelab gergasi dari Jepun, Vissel Kobe di Stadium The Noevir, Kobe.

Di atas kertas, Vissel Kobe merupakan pasukan pilihan berdasarkan kualiti pemain yang terdapat dalam pasukan itu, namun skuad kendalian Benjamin Mora sudah melakukan persiapan rapi di Dubai sejak minggu lalu dan mampu mencipta kejutan.

Ramalan kesebelasan utama skuad Vissel Kobe

(Formasi 3-4-2-1)

Vissel Kobe baru sahaja menjuarai Piala Super Fuji Xerox selepas menewaskan juara J-League 2019, Yokohama F. Marinos baru-baru ini. Seperti yang kita sedia maklum, Vissel mempunyai pemain import yang pernah beraksi di pentas tertinggi Eropah.

Mereka dijangka akan mempertaruhkan bekas bintang Barcelona, Andres Iniesta untuk mengemudi jentera tengah berganding dengan pemain skuad kebangsaan Jepun, Hotaru Yamaguchi.

Manakala di bahagian serangan, Douglas bakal menjadi senjata baharu Vissel setelah beliau menyertai kelab itu dari Shimizu S-Pulse. Dalam saingan J1 musim lalu, Douglas menjaringkan 14 gol dan beliau mampu menjadi duri dalam daging bagi JDT.

Selain itu, bahagian sayap Vissel Kobel akan diperkuatkan oleh Gotoku Sakai yang mempunyai pengalaman beraksi di Eropah di mana beliau pernah menyarung jersi Hamburger SV dan VfB Stuttgart di Jerman. Pemain berusia 28 tahun ini juga bakal menggalas tugas untuk mengawal Safawi Rasid ataupun Gonzalo Cabrera.

Bagaimanapun, pemain tumpuan dalam perlawanan itu nanti ialah Kyogo Furuhashi yang menampilkan aksi cemerlang dimana beliau membantu Vissel Kobe memenangi Super Cup baru-baru ini dengan menewaskan Yokohama F Marinos.

Ketiadaan Lukas Podolski serta David Villa dilihat memberi laluan kepada Furuhashi untuk tampil dalam kesebelasan utama.

Ramalan kesebelasan utama skuad JDT

(Formasi 4-3-3)

JDT baru-baru ini dinobatkan sebagai Kelab Terbaik Piala AFC sepanjang dekad, sekali gus menaikkan semangat pemain untuk mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan tersebut.

Tanpa kelibat pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi dan Leandro Velazquez yang tidak bersama skuad Harimau Selatan untuk aksi ACL kali ini, Hariss Harun dan Natxo Insa bakal dipertaruhkan bagi mengerakkan jentera tengah.

Seperti musim lalu, Benjamin Mora dijangka akan menurunkan rangkaian serangan tiga serangkai yang diterajui Diogo Luis Santo, Gonzalo Cabrera dan Safawi Rasid untuk merobek gawang Vissel Kobe.

Yang pastinya tugas berat sedang menanti bahagian pertahanan selepas mereka kehilangan bek kanan, Azrif Nasrulhaq yang mengalami kecederaan serius ketika jejalah pra musim di Dubai minggu lepas. Tempatnya mungkin diisi oleh pemain berpengalaman, S. Kunalan.

Apapun, JDT mampu membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata berdasarkan pengalaman mereka menewaskan Kashima Antlers, 1-0 dan seri 1-1 ke atas kelab Korea, Gyeongnam FC dalam saingan ACL musim lepas.

Baca artikel lain untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pasukan Vissel Kobe dan JDT melalui pautan dibawah.

Vissel Kobe Daftarkan Tiga Pemain Asing Bagi Hadapi AFC Champions League 2020

JDT Dan Chiangrai United Wakil Asean Dalam Saingan AFC Champions League 2020

Anda Mungkin Suka

© 2020 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group