Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan perlawanan saingan AFC Champions League (ACL) 2020 membabitkan kelab K-League, FC Seoul menentang Chiangrai United pada 3 Mac ini telah ditunda ekoran penyebaran wabak Coronavirus (Covid-19) yang sedang melanda Korea Selatan ketika ini.

Perkembangan itu disahkan melalui satu surat rasmi daripada AFC yang dihantar kepada Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Thailand, Korrawee Prissananantakul hari ini.

Ia adalah surat balasan daripada permohonan Chiangrai United untuk menunda perlawanan itu kerana bimbang wabak Coronavirus akan memberi kesan kepada tahap kesihatan pemain dan pegawai pasukan.

Pada mulanya, Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) memohon supaya perlawanan tersebut diteruskan tetapi dijalankan secara tertutup tanpa kehadiran penyokong.

Selain FC Seoul dan Chaingrai United yang menerima tempias akibat daripada penularan wabak Coronavirus ini, kelab dari Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) juga terkesan dimana perlawanan mereka menentang kelab China, Guangzou Evergrande yang sepatutnya dijalankan pada Mac ini ditunda ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Kelmarin, KFA turut mengambil keputusan dimana semua perlawanan Liga Korea (K-League) pada musim 2020 ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian berikutan penularan wabak Coronavirus yang semakin serius.

Baca artikel lain berkaitan dengan penularan wabak coronavirus di Asia sehingga menjejaskan aktiviti bola sepak.

Liga Korea Terpaksa Ditangguhkan Kerana Wabak Coronavirus

FAM Batalkan Perlawanan Persahabatan Bertemu Bahrain Kerana COVID-19, BFA Akur Arahan Kerajaan Bahrain

RASMI: AFC Ubah Jadual 3 Perlawanan Pertama AFC Champions League Akibat Isu Coronavirus Di China